Khairy Jamaluddin rayu kembali sertai UMNO, Ahmad Zahid terima permohonan
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, menyerahkan surat rayuan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk kembali menyertai parti itu.
Dalam satu kenyataan, Ahmad Zahid menyifatkan tindakan Khairy sebagai manifestasi semangat “Rumah Bangsa”, iaitu usaha mempertemukan semula yang pernah berpisah dan merapatkan kembali saf perjuangan dalam satu keluarga besar UMNO.
“Alhamdulillah. Dalam keberkatan malam ke-26 Ramadan semalam, saya menerima kunjungan saudara Khairy Jamaluddin, yang hadir menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO,” katanya di Facebook.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, secara peribadi beliau telah menerima permohonan tersebut dan ia kini akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa, yang dipengerusikan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya.
“Dalam perjalanan perjuangan ini, seperti yang sering saya sebut – biduk lalu, kiambang bertaut. Yang lebih utama ialah mencari jalan penyatuan, bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan kita,” tambah beliau.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Rumah Bangsa menjadi asas bagi mempertemukan kembali hati-hati yang pernah terpisah, memperkukuh saf perjuangan, dan mengembalikan kekuatan UMNO sebagai induk politik orang Melayu dan umat Islam di tanah air.
Menurutnya, permohonan Khairy adalah sebahagian daripada usaha lebih besar untuk menyatukan kembali parti dan memastikan visi perjuangan UMNO terus mantap di masa depan.
“UMNO mesti menjadi rumah yang terbuka untuk semua yang pernah berpisah tetapi ingin kembali bersama, dengan niat memperkukuh parti dan bangsa,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid turut berharap proses penyatuan ini akan berjalan lancar dan mendapat penerimaan daripada semua anggota parti, selaras dengan semangat perpaduan yang ingin dipupuk menerusi Rumah Bangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








