BN belum muktamadkan calon DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan
SEMENYIH – Barisan Nasional (BN) masih dalam proses rundingan dan belum membuat keputusan muktamad berhubung calon yang akan diketengahkan bagi mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan di Sabah.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan tersebut memerlukan pertimbangan menyeluruh memandangkan BN merupakan sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah, selain mengambil kira kepentingan rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta parti-parti lain yang berkaitan.
“Kita belum memuktamadkan siapa yang akan bertanding kerana kita sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah.
“Tidak mustahil untuk kita mengadakan rundingan bukan sahaja dengan GRS, malah parti-parti lain yang terlibat bagi DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan rundingan adalah lebih baik bagi mengelakkan keletihan rakyat akibat kekerapan pilihan raya, selain memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan.
“Rakyat sudah letih dan terlalu banyak masa telah dihabiskan dengan pilihan raya sebelum ini.
“Jika rundingan dapat dibuat dengan semua pihak, itu adalah keadaan yang lebih baik. Tempoh paling lama yang tinggal hanyalah 24 bulan,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF Malaysia) ke-33 di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Presiden IPF, Datuk T. Loganthan.
Terdahulu, Zambry sebelum ini dilaporkan berkata BN sedang dalam proses mengenal pasti calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan luar jangka bagi kedua-dua kerusi berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan satu mesyuarat khas akan diadakan susulan kekosongan luar jangka Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti tipis 153 undi dalam saingan enam penjuru.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















