BERITA SEMASAPOLITIK

Pusat penamaan calon PRK Parlimen Kinabatangan, DUN Lamag ditutup

KINABATANGAN – Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag di Dewan Sri Lamag ditutup tepat pada pukul 10 pagi selepas dibuka selama satu jam bermula pukul 9 pagi.

Pengumuman penutupan pusat penamaan calon itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Eddy Syaizul Rizam Abdullah di Dewan Sri Lamag, di sini.

Bagi Barisan Nasional (BN), Mohd. Naim Kurniawan Moktar dan Mohd. Ismail Ayob yang dipertaruhkan masing-masing bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.

Kehadiran kedua-dua calon itu diiringi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan; Pengerusi BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Sementara itu, Parti Warisan mempertaruhkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan Ahli Majlis Tertinggi parti, Mazliwati Abdul Malek bagi DUN Lamag.

Kedua-dua calon Warisan berkenaan diiringi Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong selain penyokong serta pencadang.

Dalam perkembangan sama, calon Bebas, Goldam Hamid hadir ke pusat penamaan calon pada pukul 7.17 pagi bersama penyokong dan pencadang.

Baca juga : Ahmad Zahid titip amanat, doa kepada calon BN Kinabatangan, Lamag

PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu ketika berusia 66 tahun.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi selepas menewaskan calon Parti Warisan, Mazliwati Abdul Malek.

Pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang berlangsung pada 29 November tahun lalu, bekas Pengerusi Barisan Nasional Sabah itu turut mengekalkan kerusi DUN Lamag selepas mencatat kemenangan tipis dengan majoriti 153 undi dalam persaingan enam penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK tersebut pada 24 Januari ini, manakala pengundian awal akan diadakan pada 20 Januari.

Sebanyak 48,722 pengundi layak mengundi dalam PRK berkenaan yang terdiri daripada 48,526 pengundi biasa serta 196 anggota polis dan pasangan masing-masing.

Sebanyak 36 pusat mengundi biasa dengan 117 saluran serta satu pusat mengundi awal dengan satu saluran akan digunakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button