Kanak-kanak 11 tahun maut terkena tembakan senjata api buatan sendiri
KENINGAU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di kepala akibat terkena tembakan senjata api buatan sendiri di sebuah pondok kebun getah di Kampung Mampulut, Sook, Sabtu lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Keningau selepas kejadian yang dipercayai membabitkan senjata api dikenali sebagai ‘ginsok’ itu.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada jam 2.35 petang, 10 Oktober lalu.
“Siasatan awal mendapati mangsa berada di pondok berkenaan bersama seorang lagi kanak-kanak sebelum satu das tembakan dilepaskan.
“Senjata api buatan sendiri yang dikenali sebagai ginsok dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
“Mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil bedah siasat di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, semalam mengesahkan kematian mangsa berpunca daripada kecederaan tembakan di kepala.
“Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber senjata berkenaan serta bagaimana ia disimpan dan dikendalikan sehingga mengakibatkan kejadian tragis itu.
“Selain itu, pemeriksaan forensik dan balistik turut dijalankan bagi menentukan bagaimana tembakan berlaku serta mengesahkan kaitan senjata yang disyaki dengan kecederaan mangsa.
“Ini juga merangkumi kemungkinan kesalahan memiliki senjata api tanpa lesen serta unsur pengabaian yang menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada risiko keselamatan,” tambahnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian atau perbuatan mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 berhubung pemilikan, jagaan atau kawalan senjata api tanpa lesen atau permit yang sah.
Erwansyah menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit berdasarkan hasil siasatan serta bukti yang dikumpulkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








