JENAYAH & MAHKAMAH

Mekanik ditahan simpan senjata api di bengkel, dakwa untuk koleksi

ALOR SETAR – Seorang mekanik yang juga pengusaha bengkel di daerah Baling ditahan polis selepas dipercayai memiliki beberapa senjata api tanpa lesen, dalam serbuan awal pagi 1 Mei lalu.koleksi senjata api mekanik

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, lelaki tempatan berusia 45 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah di premis berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui lima senjata api termasuk sepucuk pistol tiruan yang disimpan di bengkel tersebut.

“Antara yang dirampas ialah sepucuk pistol jenama Colt kaliber .45 bersama kelopak kosong, sepucuk pistol Taurus kaliber 9mm bersama kelopak mengandungi dua butir peluru.

“Turut dirampas dua laras senapang angin, sekotak mengandungi 17 butir peluru hidup jenis .45, sepucuk pistol tiruan, 130 biji bebola besi, sebuah pemampat angin serta sarung pistol,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah hari ini.

Beliau berkata, hasil saringan awal air kencing mendapati suspek turut positif dadah jenis methamphetamine.

Siasatan awal mendapati suspek memperoleh senjata api dan peluru berkenaan sejak awal tahun 2025 daripada kenalan di negara jiran yang dibawa masuk melalui sempadan Pengkalan Hulu, Perak.

“Suspek membeli senjata berkenaan pada harga sekitar RM1,300 hingga RM1,500 dan mengaku menyimpannya sebagai koleksi peribadi.

“Dua laras senapang angin itu pula dibuat sendiri oleh suspek dan mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan,” katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana disyaki memiliki dan memperdagangkan senjata api, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta sebatan.

Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tanpa lesen sah.

Suspek kini direman selama lapan hari sehingga 7 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button