Mekanik mengaku tidak bersalah curi pakaian dalam wanita
AYER KEROH – Seorang mekanik mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri beberapa pakaian termasuk pakaian dalam di sebuah butik terkenal di sebuah pusat beli-belah, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Aidil Mustaqim Zulkifeli, 21, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani, di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mencuri sembilan barangan milik sebuah butik pakaian dalam sebuah pusat beli-belah di Jalan Lagenda, Taman Lagenda, dalam daerah Melaka Tengah pada pukul 7.50 malam Ahad lalu.
Barangan yang didakwa dicuri termasuk beberapa helai baju-T lelaki, pakaian wanita, pakaian dalam, seluar pendek dan gaun dengan nilai keseluruhan RM491.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, tertuduh juga boleh dikenakan hukuman sebat.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Syauqi Mardia Baharudin menawarkan jaminan RM7,000.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Mawardi Zainudin yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.
Menurutnya, tertuduh bekerja sebagai mekanik dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan selain perlu menanggung ibunya yang menghidap barah otak.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Jun depan untuk sebutan semula kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








