Lelaki warga asing curi tiga iPhone di Kuantan Parade, polis buru suspek
KUANTAN – Polis sedang memburu seorang lelaki dipercayai warga asing yang melarikan tiga unit telefon bimbit jenama iPhone dari sebuah kedai di tingkat bawah Kuantan Parade, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asst. Komisioner Ashari bin Abu Samah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.45 malam apabila suspek menyamar sebagai pelanggan sebelum bertindak mencuri telefon bimbit berkenaan yang dianggarkan bernilai RM8,000.
“Suspek yang memakai jaket berwarna maroon dan pelitup muka telah melarikan diri bersama telefon bimbit terbabit.
“Pengadu yang juga jurujual kedai cuba mengejar suspek namun gagal,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Polis juga telah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan tampil menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-5652222 atau di mana-mana balai polis berdekatan.
Dalam pada itu, Ashari menasihati semua peniaga dan pengusaha kedai agar lebih berhati-hati serta memastikan tahap keselamatan premis masing-masing sentiasa berada dalam keadaan baik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








