Akta Pendidikan Tinggi Baharu perlu tekankan kecemerlangan, kemenjadian mahasiswa
TANJONG MALIM – Cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta pengenalan kerangka perundangan baharu perlu memberi fokus lebih menyeluruh kepada kecemerlangan pendidikan tinggi dan kemenjadian mahasiswa.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pembaharuan berkenaan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek kebebasan bersuara mahasiswa, sebaliknya turut menekankan pembentukan graduan berilmu, beradab dan berakhlak.
Menurutnya, UPSI menyambut baik usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membangunkan kerangka perundangan lebih komprehensif bagi memperkukuh sektor pendidikan tinggi negara.
“Kerangka perundangan baharu ini berpotensi memperkasakan autonomi institusi yang mendorong kepada kecemerlangan insan, selain mengukuhkan peranan universiti sebagai pusat penyebaran ilmu dan penghasilan inovasi baharu.
“Pemansuhan AUKU juga tidak seharusnya hanya berfokus kepada kebebasan bersuara mahasiswa semata-mata, sebaliknya perlu menekankan aspek tanggungjawab serta pembentukan adab, akhlak dan ilmu mahasiswa secara lebih holistik sejajar perkembangan semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Md Amin berkata, langkah berkenaan selari dengan agenda Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 untuk membentuk Akta Pendidikan Tinggi Baharu yang lebih holistik dan berteraskan kecemerlangan.
“Semua warga institusi pendidikan tinggi (IPT), termasuk mahasiswa, mempunyai amanah dan peranan penting dalam membina Malaysia yang sejahtera, maju serta disegani di peringkat serantau dan global.
“Akta baharu yang bakal diperkenalkan perlu memberi perhatian serius terhadap pembentukan mahasiswa kerana institusi pendidikan tinggi dan warganya merupakan antara cerminan kemajuan tamadun sesebuah negara,” katanya lagi.
Beliau berkata, tadbir urus universiti juga perlu dilaksanakan berdasarkan aspirasi negara, keperluan industri dan impak kepada komuniti bagi mewujudkan organisasi yang efektif, matang serta berdaya saing di peringkat global.
Menurutnya, reformasi pendidikan tinggi perlu dilakukan secara berani dengan mengambil kira tanggungjawab semua pemegang taruh termasuk kerajaan, mahasiswa, ibu bapa, pentadbir, warga IPT, industri dan masyarakat.
“Mahasiswa dan ahli akademik perlu berani meneroka idea serta wacana baharu, menghasilkan impak kepada masyarakat dan memberikan manfaat kepada negara, sejajar dengan peranan universiti sebagai pusat pengembangan kecemerlangan ilmu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Md Amin berkata UPSI bersedia menyumbangkan kepakaran dan pengalaman kepada KPT serta agensi berkaitan dalam usaha membangunkan kerangka perundangan baharu berkenaan.
“Kami akan mengambil langkah proaktif dalam merealisasikan aspirasi kerajaan untuk memajukan ekosistem pendidikan tinggi demi masa depan negara,” katanya lagi.
Beliau berharap Akta Pendidikan Tinggi Baharu kelak mampu melahirkan generasi berilmu yang seimbang dan holistik serta menyumbang secara signifikan kepada kecemerlangan dan kemajuan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








