23 akta baharu, 97 akta dipinda sejak 2023 – PM
KUALA LUMPUR – Pentadbiran Kerajaan Madani merekodkan pencapaian tertinggi dari segi penggubalan dan pindaan undang-undang sejak dua setengah tahun lalu dengan meluluskan 23 akta baharu dan meminda 97 akta sedia ada.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi tahun 2023 sahaja, lima akta baharu diperkenalkan manakala 34 akta dipinda.
Beliau berkata, tahun berikutnya lima akta baharu dan 57 akta dipinda, manakala bagi tahun ini sehingga kini, empat akta baharu serta enam akta dipinda, selain dua rang undang-undang (RUU) baharu dan 11 RUU dipinda.
“Perkembangan ini menunjukkan komitmen kerajaan memperkukuh kerangka perundangan negara walaupun masih banyak dalam tindakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan kementerian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berhubung usaha kerajaan meminda atau memansuhkan undang-undang lapuk.
Menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengenai dakwaan beliau memohon imuniti daripada tindakan saman, Anwar menegaskan perkara itu tidak pernah berlaku.
“Saya hanya merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan sama ada sesuatu tuntutan mempunyai asas munasabah.
“Persoalan tindakan menindas pihak lawan tanpa niat sebenar untuk mendapatkan keadilan dan salah guna proses mahkamah diterima dalam semua kes termasuk kes sivil,” jelasnya.
Anwar menegaskan keputusan berhubung perkara tersebut ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah, bukannya beliau selaku Perdana Menteri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








