AGAMA

Memaknai cinta Rasulullah SAW

Oleh USTAZAH AMIENAH RIDZWAN

Oleh USTAZAH AMIENAH RIDZWAN

Penulis merupakan Pensyarah Jabatan Syariah Islamiyyah, Kolej Islam As-Sofa

Kedatangan bulan Rabiulawal sering menyemarakkan kembali rasa cinta umat Islam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Majlis sambutan Maulidur Rasul diadakan, selawat dialunkan, sirah Baginda dibaca dan umat Islam berhimpun bagi menzahirkan rasa syukur atas kelahiran insan agung yang membawa cahaya kepada seluruh alam.

Menzahirkan kegembiraan, memperbanyakkan selawat dan mengingati perjalanan hidup Rasulullah SAW merupakan antara jalan menyuburkan rasa cinta kepada Baginda.

Namun, persoalan yang perlu ditanyakan kepada diri sendiri ialah sejauh mana cinta tersebut dimanifestasikan dalam kehidupan seharian?

maulid
Menzahirkan kegembiraan, memperbanyakkan selawat dan mengingati perjalanan hidup Rasulullah SAW merupakan antara jalan menyuburkan rasa cinta kepada Baginda. – Foto Hiasan

Cinta kepada Rasulullah SAW bukan sekadar emosi atau ungkapan rindu yang indah pada lisan.

Related Articles

Dalam kerangka Islam, mahabbah kepada Baginda menuntut kita mengenali, memuliakan, memperbanyakkan selawat, mentaati ajaran, mencontohi akhlak serta menjadikan sunnah Baginda sebagai pedoman kehidupan.

Cinta kepada Rasulullah SAW juga mempunyai hubungan yang erat dengan kesempurnaan iman.

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada bapanya, anaknya dan seluruh manusia.” – Hadis Riwayat al-Bukhari.

Hadis ini menunjukkan bahawa cinta kepada Rasulullah SAW mempunyai kedudukan yang tinggi dalam pembinaan iman.

Namun, cinta menurut syarak bukan sekadar dakwaan hati. Seseorang yang benar-benar mencintai akan terdorong untuk mengenali, menghormati dan mengikuti insan yang dicintainya.

Sebab itu, kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu bergerak daripada mahabbah kepada ittiba’ iaitu daripada cinta kepada ikutan.

Allah SWT memberikan ukuran yang jelas tentang cinta melalui firman-Nya dalam Surah Ali Imran ayat 31 yang bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Ayat ini menegaskan bahawa cinta perlu dibuktikan melalui ittiba’ iaitu menjadikan Rasulullah SAW sebagai ikutan.

Dalam ayat berikutnya, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah, Taatilah Allah dan Rasul.” (Surah Ali Imran, ayat 32).

Ini menunjukkan bahawa cinta, ikutan dan ketaatan tidak seharusnya dipisahkan. Mengaku mencintai Rasulullah SAW sewajarnya melahirkan keinginan untuk hidup menurut petunjuk yang dibawa oleh Baginda.

Selawat mampu menyuburkan cinta, manakala sunnah membuktikannya. Namun, penghayatan cinta tidak sepatutnya berakhir pada selawat semata-mata.

Bayangkan jika lidah umat begitu ringan mengucapkan selawat, tetapi lidah yang sama mudah memfitnah, mengumpat, mencaci, memperlekehkan orang lain dan menyakiti hati manusia.

Kita mungkin mampu berdiri lama dalam majlis selawat, tetapi selepas pulang masih ada yang menzalimi pasangan, mengabaikan ibu bapa, memutuskan silaturahim, berlaku kasar kepada anak-anak, tidak amanah dalam pekerjaan atau mengeluarkan kata-kata kesat.

Mengaku mencintai Rasulullah SAW sewajarnya melahirkan keinginan untuk hidup menurut petunjuk yang dibawa oleh Baginda. – Foto Hiasan

Justeru, sambutan Maulidur Rasul seharusnya menjadi ruang muhasabah dan bukan sekadar sambutan tahunan. Antara manifestasi terbesar cinta kepada Rasulullah SAW ialah meneladani akhlak Baginda.

Allah SWT memberikan pengiktirafan tinggi terhadap keperibadian Rasulullah SAW sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Qalam yang bermaksud: “Dan sesungguhnya engkau benar-benar mempunyai akhlak yang amat mulia.”

Maka, memperingati Rasulullah SAW bukan hanya dengan mengenang sirah Baginda, tetapi juga berusaha memperbaiki akhlak dan menghayati sunnah yang diwariskan kepada umat.

Antara sunnah yang kadangkala terlepas daripada perhatian ialah menjaga lisan. Mengikuti Rasulullah SAW bukan hanya pada perkara yang mudah dilihat seperti pakaian, makanan atau amalan tertentu, tetapi turut merangkumi cara kita bercakap dan berinteraksi dengan manusia.

Prinsip ini semakin penting dalam era media sosial. Tulisan pada papan kekunci juga merupakan bentuk tutur kata yang akan dipertanggungjawabkan.

Menjaga sunnah Rasulullah SAW pada hari ini bermakna seorang Muslim perlu menjaga bukan sahaja lidah, bahkan komen, hantaran, kapsyen dan setiap perkongsian di alam maya.

Seorang Muslim perlu menjaga bukan sahaja lidah, bahkan komen, hantaran, kapsyen dan setiap perkongsian di alam maya. – Gambar hiasan

Tidak selari dengan semangat mencintai Rasulullah SAW jika seseorang memenuhi media sosial dengan selawat, tetapi pada masa yang sama mencaci, menghina dan menyebarkan keburukan orang lain.

Dalam memahami sunnah secara menyeluruh, kita juga perlu mengelakkan sikap terlalu menumpukan kepada gambaran sunnah yang bersifat zahir sehingga mengabaikan sunnah akhlak dan nilai yang menjadi asas keperibadian Rasulullah SAW.

Menghidupkan sunnah bermaksud berusaha membawa cara hidup yang diajarkan Rasulullah SAW ke dalam keseluruhan kehidupan, termasuk dalam hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia.

Sambutan Maulidur Rasul mempunyai nilai yang besar apabila ia berjaya membawa umat daripada sekadar mengenang kepada mengenali, daripada mengenali kepada mencintai dan daripada mencintai kepada mengikuti.

Kita tidak mahu hanya menjadi umat yang merindui Nabi SAW dalam syair tetapi jauh daripada akhlaknya dalam kehidupan. Kita tidak mahu hanya mengenali sirah kelahiran Baginda tetapi tidak menghayati petunjuk kehidupannya.

Maulid
Penganjuran majlis maulid bukan sekadar peringatan terhadap kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, bahkan menjadi medan menyuburkan mahabbah, memperkukuh ikatan rohani dan menghubungkan umat Islam dengan warisan agung Ahlul Bayt. – Foto Hiasan 

Lebih penting, kita tidak mahu cinta kepada Baginda hanya subur pada bulan Rabiulawal, kemudian kembali layu apabila musim sambutan berlalu.

Sebaliknya, biarlah cinta kepada Rasulullah SAW terus hidup dalam hati dan diterjemahkan melalui akhlak, ketaatan serta amalan sepanjang kehidupan.

  • Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button