BERITA SEMASA

Deepavali: AFA PRIME laksana strategi pengurusan trafik KLK dan LPT1, aktifkan TTA

KUALA LUMPUR — Pengendali lebuh raya, AFA PRIME Berhad (AFA PRIME) melaksanakan strategi komprehensif pengurusan trafik dan keselamatan bagi pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) serta Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sempena cuti perayaan Deepavali, hujung minggu ini.

Langkah proaktif itu diambil bagi menampung jangkaan lonjakan aliran kenderaan sekali gus mengurangkan kesesakan di lokasi kritikal khususnya Plaza Tol Gombak, Bentong dan Jabor.

Sehubungan itu, inisiatif ‘Perjalanan Bijak’ menerusi Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) telah diaktifkan bagi membantu pengguna merancang perjalanan mengikut destinasi serta plaza tol berkaitan.

Bagi fasa keluar dari Kuala Lumpur dan Selangor pada 7 November 2026 melalui Plaza Tol Gombak, kenderaan ke Kelantan disarankan memulakan perjalanan sama ada pukul 6 hingga 9 pagi atau 5 petang hingga 8 malam.

Pengguna ke Terengganu pula dicadangkan bergerak antara pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari atau 8 hingga 11 malam, manakala ke Pahang pada pukul 12 tengah hari hingga 4 petang atau 8 malam hingga 11 malam.

Bagi fasa perjalanan pulang ke ibu kota pada 9 November, pengguna dari Pahang dinasihatkan memasuki mana-mana plaza tol pada pukul 7 hingga 10 pagi atau 7 petang hingga 11 malam.

Perjalanan dari Terengganu melalui Plaza Tol Jabor disarankan pada pukul 10 pagi hingga 1 petang atau 8 hingga 10 malam, manakala pengguna dari Kelantan melalui Plaza Tol Bentong disyorkan bergerak pada pukul 4 petang hingga 8 atau 9 malam hingga 12 tengah malam.

Pengguna turut digalakkan memanfaatkan ‘Waktu Perjalanan Bebas’ antara pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi pada kedua-dua tarikh berkenaan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif AFA PRIME Berhad, Ahmad Faizi Latifi Ahmad Faiz berkata, komitmen syarikat adalah memastikan setiap keluarga tiba di destinasi masing-masing dengan selamat.

“Pengguna juga perlu cakna dengan kerja-kerja pembinaan lorong tambahan di Lebuhraya KL-Karak yang kini dalam fasa pelebaran dan kerja-kerja projek sedang berlangsung di sepanjang jajaran.

“Kami menyeru semua pengguna mematuhi arahan dan papan tanda lalu lintas di kawasan kerja, mengurangkan kelajuan serta memandu dengan lebih berhati-hati.

“Petugas kami bersedia di sepanjang kedua-dua lebuh raya dan akan bertindak segera sekiranya berlaku kecemasan,” katanya dalam kenyataan.

Selain TTA, unit ronda dan pasukan tindak balas kecemasan ditempatkan di lokasi strategik, selain memastikan semua kemudahan lebuh raya diselenggara pada tahap optimum.

Pengguna kenderaan ringan turut dinasihatkan mengelak waktu puncak ketibaan bas ekspres di Plaza Tol Gombak iaitu antara pukul 9.30 pagi hingga 12 tengah hari dan 9.30 malam hingga 12 tengah malam.

Orang ramai diingatkan memeriksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan, mematuhi had laju dan mendapatkan rehat secukupnya.

Maklumat trafik terkini boleh diperoleh menerusi talian LPT-Line di 1-700-818-700 atau saluran rasmi X @LPTTrafik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button