BERITA SEMASA

11 barangan diwartakan bawah SHMMP sempena Deepavali 2026

KUALA LUMPUR – Sebanyak 11 barangan diwartakan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 berbanding sembilan barangan, tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penambahan itu bertujuan memperluas liputan kawalan harga bagi memastikan pengguna dapat menikmati barangan keperluan pada harga berpatutan menjelang sambutan Deepavali pada 8 November nanti.

“Sebanyak 11 jenis barangan diwartakan di bawah skim berkenaan, iaitu bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal Australia, kelapa biji, kelapa parut, santan, tomato dan ubi kentang dari China,” jelasnya.

Menurut beliau, perbandingan harga maksimum bagi SHMMP Deepavali 2025 dan 2026 menunjukkan majoriti barangan kawalan mengekalkan harga atau mencatatkan penurunan harga maksimum mengikut wilayah.

Bagaimanapun, daging kambing biri-biri bertulang import menjadi satu-satunya barangan yang mencatatkan peningkatan harga maksimum di peringkat borong dan runcit, melibatkan Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Beliau seterusnya berkata, Malaysia masih mampu mengekalkan kestabilan harga meskipun berdepan gangguan rantaian bekalan susulan konflik di Asia Barat.

“Walaupun kita berhadapan dengan krisis konflik Asia Barat yang mengganggu rantaian bekalan, Alhamdulillah, Malaysia masih mampu memastikan pergerakan harga kekal stabil berdasarkan data dan pelaksanaan SHMMP.

“Bagi tempoh tujuh hari ini, harga maksimum telah ditetapkan hasil perbincangan bersama pihak industri dan peniaga perlu mematuhinya, termasuk bagi barangan yang ketika ini dijual melebihi paras harga maksimum yang ditetapkan. Penguatkuasaan akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan,” katanya pada sidang media pengumuman pelaksanaan SHMMP Deepavali 2026 di sebuah pasar raya, di sini hari ini.

Armizan kemudiannya menambah, pelaksanaan skim berkenaan mengambil kira keadaan semasa bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada pengguna dan peniaga, dengan memastikan pengguna mendapat barangan pada harga berpatutan tanpa membebankan peniaga melalui tempoh kawalan harga yang terlalu panjang.

“Penetapan senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan turut mengambil kira faktor permintaan dan penawaran, kos semasa, cuaca serta kadar upah, selain pandangan rakan strategik termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan serta pemain industri,” katanya.

Selain SHMMP, KPDN turut melaksanakan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) Deepavali bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.

Orang ramai boleh menyemak jadual pelaksanaan program berkenaan menerusi portal rasmi PJRM atau aplikasi Info Jualan RAHMAH MADANI.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button