Armizan ganti tempat Ewon dalam Jawatankuasa Teknikal Tindakan Pelaksanaan MA63
PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali akan menggantikan tempat Datuk Ewon Benedick sebagai wakil menteri persekutuan dari Sabah dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Perkara itu diumumkan Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, hari ini.
“Selepas ini, Armizan akan mengambil alih peranan Ewon,” kata Fahmi Fadzil dalam sidang media selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan menggantikan Ahli Parlimen Penampang itu yang meletak jawatan daripada Kabinet, minggu lalu.
Ewon meletak jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi minggu lalu selepas membangkitkan pendirian Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menyatakan kerajaan persekutuan bertindak tidak sah kerana gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil persekutuan selama hampir lima dekad.
Ogos lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, 13 daripada 29 tuntutan Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963) telah diselesaikan.
Manakala 16 lagi masih disemak oleh jawatankuasa teknikal yang dipengerusikannya itu.
Sementara itu, Armizan yang turut hadir pada sidang media bersama Fahmi berkata, Kabinet telah mengarahkan supaya rundingan mengenai pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah itu dimulakan serta-merta.
Katanya, rundingan akan dimulakan di peringkat perkhidmatan awam memandangkan kerajaan negeri kini berada dalam pentadbiran sementara menjelang pilihan raya negeri pada 29 Nov.
Armizan turut berkata, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican diberi tanggungjawab mewakili kerajaan persekutuan, manakala Setiausaha Kerajaan Sabah, Datuk Seri Safar Untong, akan mewakili negeri itu dalam rundingan berkenaan.
Mesyuarat pertama dijangka berlangsung di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, Isnin ini.
“Perkembangan ini menunjukkan kesungguhan kerajaan persekutuan untuk melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu,” kata Armizan, hair ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








