Setiausaha Politik buat laporan polis, nafi dakwaan kaitan Menteri KPDN dengan kes Zara Qairina
KOTA KINABALU – Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Ghazali Hajiji, membuat laporan polis terhadap satu akaun TikTok yang didakwa mengaitkan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, dengan kes kematian remaja, Zara Qairina Mahathir.
Menurut Ghazali, laporan itu dibuat terhadap pemilik akaun media sosial TikTok dengan nama pengguna @saka_merah7 yang didakwa memuat naik hantaran berunsur tuduhan tidak berasas dan berniat jahat.
“Saya membuat satu laporan polis berkenaan hantaran di TikTok yang berbaur fitnah terhadap Datuk Armizan oleh individu dengan profil @saka_merah7 yang mengaitkan beliau dengan insiden malang membabitkan pelajar SMKA Tun Datu Mustapha,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.
Ghazali berkata, sebagai Setiausaha Politik, beliau bertanggungjawab memastikan tuduhan palsu itu tidak terus tular dan menegaskan bahawa fitnah tidak harus dijadikan senjata politik.
“Dalam saat keluarga Allahyarhamah sedang melalui dugaan berat, tidak perlulah ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menabur fitnah untuk kepentingan politik.
“Landskap politik Sabah cukup matang. Tidak perlu kita rendahkan martabat kita ke tahap seperti itu,” tegasnya.
Selain laporan polis, beliau turut membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar tindakan tegas diambil terhadap pemilik akaun berkenaan.
Ghazali turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu dan menjadikan tragedi orang lain sebagai modal politik.
Kematian tragis pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina yang dikatakan jatuh dari tingkat tiga bangunan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah, pada 16 Julai lalu, telah menarik perhatian seluruh negara.
Zara disahkan meninggal dunia tanpa bedah siasat dilakukan sehingga menimbulkan keraguan dalam kalangan keluarga dan masyarakat.
Ibunya, Noraidah Lamat, 45, telah mengarahkan peguam untuk memulakan proses penggalian semula kubur bagi tujuan bedah siasat pertama kali, demi mendapatkan kepastian mengenai punca kematian anaknya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








