Jawatankuasa khas ditubuh untuk bincang mekanisme tuntutan 40 peratus hasil Sabah – Fadillah
KOTA KINABALU – Sebuah jawatankuasa khas terdiri daripada wakil kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri ditubuhkan bagi membincangkan mengenai mekanisme pelaksanaan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, lapor BERNAMA.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (JKTMPMA63) turut berkata, jawatankuasa khas berkenaan akan melapor kepada JKTMPMA63, namun turut dibenarkan melapor terus kepada Jemaah Menteri berhubung perkembangan perbincangan serta mekanisme yang dicadangkan.
“Tempoh masa untuk kita membincangkan pelaksanaan ini amat singkat. Rundingan bermula hari ini dengan penubuhan jawatankuasa tersebut, dan jika boleh saya mahu mereka memperincikan terus mekanisme pelaksanaannya.
“Saya menunggu laporan dan hasil perbincangan mereka. Yang penting, jawatankuasa ini ditubuhkan dan dapat mengemukakan cadangan kepada kerajaan… kita tunggu laporan penuh nanti,” katanya kepada pemberita di Menara Kinabalu, di sini hari ini.
Terdahulu, Fadillah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri interim, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu. Hadir sama, Safar, Johan, dan Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh.
Pada 17 Oktober lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan di negeri ini hampir empat dekad.
Mahkamah turut mengarahkan semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan perlu dicapai dalam tempoh 180 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan berhubung tuntutan pemberian khas 40 peratus hak Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Jelas Fadillah, setelah ditubuhkan, jawatankuasa khas itu akan membincangkan skop tugas dan tanggungjawab pelaksanaan tuntutan tersebut serta perbincangan lanjut bersama kerajaan negeri baharu selepas PRN Sabah ke-17 pada 29 Novemberemebr.
“Kerajaan Persekutuan sudah membuat keputusan untuk tidak merayu terhadap tuntutan 40 peratus ini. Oleh itu, keputusan Kabinet Persekutuan adalah mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri. Disebabkan masa ini hanya terdapat caretaker government, adalah lebih penting untuk berjumpa dahulu,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








