BERITA SEMASA

Suspek guna nombor negara jiran ancam bakar kemudahan LNG negara – Fadillah

KUALA LUMPUR – Suspek yang mengancam mahu membakar kemudahan gas asli cecair (LNG) PETRONAS, baru-baru ini didakwa menggunakan nombor negara jiran Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bagaimanapun berkata, perkara itu masih dalam siasatan polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengarahkan kawalan keselamatan ditingkatkan di semua loji LNG termasuk di Bintulu, Sarawak.

“Saya dimaklumkan bahawa ada yang menerima SMS ugutan yang menggunakan nombor telefon Indonesia.

“Tapi siapa? Polis masih membuat siasatan. Jadi sebagai langkah jaga-jaga, MKN telah mengeluarkan untuk meningkatkan dari segi kawalan keselamatan.

“Kita tidak tahu sama ada akan berlaku di LNG di Bintulu, Sarawak ataupun di Sabah. Sebab mereka mengatakan hanya konteks LNG,” katanya pada apabila ditemui wartawan di Sidang Kemuncak Wanita, Keamanan dan Keselamatan ASEAN 2025, di sini hari ini.

Jelas Fadillah, SMS itu diterima kakitangan ibu pejabat Petronas selepas pengirim tidak mendapat respon terhadap mesej awalnya.

“Dia minta menjawab sesuatu tetapi sebab tidak ada respon, dia mengugut untuk membakar LNG kita. Tetapi tidak tahu yang mana satu,” katanya.

Beliau seterusnya berkata, kerajaan memandang serius ugutan berkenaan dan tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan sektor tenaga negara.

MKN dalam satu kenyataan semalam mengarahkan semua kemudahan LNG di Bintulu, Sarawak memperketatkan langkah keselamatan berikutan ancaman yang diterima.

MKN turut memaklumkan, pihaknya telah menerima laporan mengenai ancaman keselamatan terhadap beberapa fasiliti LNG dalam negara, khususnya di Bintulu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button