JENAYAH & MAHKAMAH

Kes pelajar wanita maut: Lelaki 19 tahun direman tujuh hari

KUANTAN – Seorang lelaki berusia 19 tahun direman selama tujuh hari selepas dipercayai terbabit dalam kematian seorang pelajar wanita berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Air Putih 2, di sini, awal pagi tadi.

Perintah reman terhadap suspek diperoleh di Mahkamah Majistret Kuantan bermula hari ini hingga 12 Oktober bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan menerusi MERS 999 daripada seorang lelaki pada kira-kira pukul 4.32 pagi memaklumkan berlaku pergaduhan antara dirinya dengan teman wanitanya di rumah berkenaan.

Beliau berkata, susulan maklumat itu, sepasukan anggota polis digerakkan ke lokasi dan menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah bilik sewa di aras bawah rumah berkenaan.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa berada dalam keadaan terbaring di atas katil.

“Pemeriksaan oleh pakar forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan mendapati terdapat kesan tekanan pada bahagian leher mangsa. Mangsa kemudiannya disahkan telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, seorang lelaki berusia 19 tahun ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dengan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, pasukan Forensik D10 Jabatan Siasatan Jenayah dan Unit K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang turut hadir di lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan serta tindakan lanjut.

Katanya, bedah siasat ke atas mangsa dijadualkan dijalankan hari ini di Jabatan Forensik HTAA, Kuantan bagi menentukan punca sebenar kematian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button