BERITA SEMASA

Elaun RM300, beban warden guru tidak lagi munasabah – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menyediakan peruntukan khas bagi melantik bekas anggota tentera sebagai warden sepenuh masa serta memasang kamera litar tertutup (CCTV) di semua sekolah berasrama bagi mengurangkan beban guru dan menangani isu buli serta jenayah.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu perlu diberi perhatian sekiranya kerajaan mahu meneruskan sistem sekolah berasrama.

Katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) juga perlu mengambil kesempatan dalam persidangan Parlimen kali ini untuk memohon peruntukan khas yang mendesak dan berkepentingan awam berikutan terlalu banyak kes buli, malah jenayah, berlaku di sekolah sepanjang tiga tahun ini.

“Suka atau tidak, jika kita masih percaya dan mahu teruskan sistem sekolah berasrama, Kerajaan mesti menyediakan peruntukan untuk lantik Warden Sepenuh Masa bekas Tentera untuk kurangkan beban guru dan CCTV di semua sekolah asrama,” katanya dalam kenyataan.

Baca juga : Fadhlina jawab tujuh saranan Asyraf Wajdi susulan tragedi buli

Beliau berkata, pemberian elaun tambahan RM300 kepada guru yang menggalas tugas sebagai warden tidak lagi memadai berikutan bebanan tugas hakiki mereka.

Katanya, keadaan itu menyebabkan tugas pemantauan di asrama secara berterusan, khususnya pada waktu berisiko, tidak munasabah untuk dipikul guru.

“Meletakkan bebanan tugas sebagai warden kepada guru sudah tidak lagi berkesan dengan hanya elaun tambahan RM300 dan realiti bebanan tugas hakiki sebagai guru pastinya tidak munasabah untuk mereka berjaga dan melakukan pemantauan berterusan di asrama sepanjang masa terutamanya waktu-waktu berisiko,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, dapatan kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) selama enam bulan di empat Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang melaksanakan projek rintis pelantikan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera turut menunjukkan keberkesanan guru menggalas tugas berkenaan mempunyai batasan.

“Antara dapatan yang dibuat oleh Universiti Putra Malaysia selama 6 bulan di 4 buah MRSM yang melaksanakan projek rintis (pilot project) perlantikan Warden Sepenuh Masa Bekas Tentera turut mendapati bahawa keberkesanan guru untuk menggalas tugas warden bagi menangani pelbagai isu disiplin pelajar termasuk buli amatlah terbatas,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, pelantikan warden sepenuh masa daripada kalangan bekas tentera ternyata mampu mengurangkan masalah disiplin dan kes buli hampir sifar di keempat-empat MRSM terbabit sepanjang tempoh projek rintis selama enam bulan.

“MARA bersedia berkongsi hasil kajian ini dengan pihak Kementerian Pendidikan tanpa sekelumit niat untuk ‘mengajar’ tetapi atas rasa tanggungjawab bersama untuk kita menangani isu Buli dan disiplin pelajar secara bersama,” katanya.

Pada masa sama, Asyraf Wajdi berkata cadangan itu bukan bertujuan menafikan faktor lain yang turut menyumbang kepada pembangunan nilai, akhlak dan disiplin pelajar.

Katanya, peranan ibu bapa, media, isu kesihatan mental dan pelbagai faktor lain juga perlu diberi perhatian dalam usaha menangani isu berkenaan.

“Malah ini bukan juga menafikan faktor-faktor lain yang turut menyumbang dalam membangunkan nilai, akhlak dan disiplin pelajar termasuk peranan ibubapa, media, isu kesihatan mental dan pelbagai lagi bab kata pepatah Inggeris ‘It takes a village to raise a child’,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button