Bunuh isteri, bekas peserta American Idol dipenjara seumur hidup
AMERIKA SYARIKAT – Bekas peserta program pencarian bakat televisyen American Idol, Caleb Flynn, 40, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan pembebasan bersyarat selepas didapati bersalah membunuh isterinya, Ashley Flynn.
Flynn didapati bersalah minggu lalu selepas juri membuat keputusan dalam tempoh singkat, sekali gus menolak dakwaannya bahawa seorang penceroboh memasuki rumah mereka di Ohio dan menembak Ashley ketika wanita itu sedang tidur.
Dia turut didapati bersalah atas lapan pertuduhan tambahan, termasuk pembunuhan berat dan mengganggu bahan bukti.
Surat daripada dua anak perempuannya dibacakan di mahkamah ketika prosiding hukuman pada Isnin, dengan kedua-duanya merayu supaya Flynn akhirnya mengakui kesalahannya selain mempersoalkan mengapa dia membunuh ibu mereka.
Flynn, bekas pastor muzik, menembak mati isterinya yang berusia 37 tahun dan kemudian didakwa menyusun keadaan rumah mereka di Tipp City supaya kelihatan seperti berlaku kejadian pecah masuk melalui garaj pada Februari lalu.
Flynn mendakwa dia sedang tidur sebelum terdengar bunyi tembakan dan menemukan isterinya sudah meninggal dunia di atas katil selepas menyedari pintu garaj terbuka.
Dua anak mereka yang masing-masing berusia sembilan dan 11 tahun turut sedang tidur di rumah ketika kejadian.
Kakak Ashley, Kayla Keyt, membacakan kenyataan kesan terhadap mangsa dan berkata, pembunuhan itu menyebabkan kedua-dua anak Flynn mempersoalkan kepercayaan Kristian mereka serta “menghancurkan keluarga yang mempercayai kamu”.
Salah seorang anak perempuan Flynn meluahkan kekeliruan dan kesedihannya terhadap tindakan bapanya membunuh ibunya, selain mempersoalkan bagaimana dia sanggup melakukan perkara berkenaan.
Dia turut menyifatkan ibunya sebagai insan yang sempurna sebelum menyatakan bahawa Flynn memilih untuk membunuh satu-satunya ibu yang pernah dimilikinya.
Seorang lagi anak perempuan Flynn pula tidak lagi memanggilnya sebagai ayah dalam surat berkenaan, sebaliknya menggunakan nama “Caleb”, sambil memintanya memberitahu semua orang mengenai perbuatannya dan menerima akibat daripada tindakan itu.
Dia turut berkata tindakan Flynn menyebabkan dirinya berasa seperti orang bodoh kerana pernah mempercayainya.
Flynn menangis teresak-esak ketika surat daripada anak-anaknya dibacakan di mahkamah.
Dalam prosiding hukuman itu, Flynn turut membaca kenyataan yang menyatakan rasa sayangnya terhadap keluarga selain memohon maaf atas “keputusan” yang dibuatnya, namun sekali lagi menegaskan bahawa dia tidak membunuh isterinya.
“Saya membuat ikrar kepada Ashley pada hari perkahwinan kami. Saya gagal menunaikan ikrar itu,” katanya memetik laporan BBC.
Hakim Jeannine Pratt menyifatkan Flynn sebagai individu yang mempunyai risiko “ekstrem” terhadap keselamatan awam ketika menjatuhkan hukuman berkenaan.
Keputusan bersalah itu dibuat selepas perbicaraan selama lapan hari yang menyaksikan beberapa mesej teks yang didakwa dihantar Flynn kepada bekas kekasihnya, Alleigha Botner, dibacakan di mahkamah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





