BERITA SEMASA

Ketidakhadiran SPM 2025 menurun, hanya 1.79 peratus calon tidak hadir

PUTRAJAYA – Peratusan calon yang tidak hadir dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menunjukkan penurunan apabila hanya 7,099 calon atau 1.79 peratus daripada keseluruhan 395,740 calon berdaftar tidak menduduki semua mata pelajaran, berbanding 8,108 calon pada tahun sebelumnya.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, penurunan jumlah ketidakhadiran itu mencerminkan perkembangan positif dalam penyertaan calon bagi peperiksaan berkenaan.

Menurut beliau, ketidakhadiran calon dipengaruhi pelbagai faktor termasuk bekerja, berpindah ke luar negara, terbabit dalam kemalangan serta masalah keluarga.

“Selain itu, terdapat juga calon yang berdepan masalah kesihatan, kekangan pengangkutan, meninggal dunia serta ada yang ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Baca juga : SPM 2025 catat GPK 4.42 mata, terbaik sejak KSSM diperkenal

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2025 di Kementerian Pendidikan (KPM), di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 366,435 atau 94.29 peratus calon SPM 2025 layak diberikan sijil, berbanding 355,933 atau 94.01 peratus pada 2024.

Jelas Dr Mohd Azam, angka tersebut menunjukkan peningkatan seramai 10,502 orang atau bersamaan 0.28 peratus.

“Bagi calon sekolah KPM, seramai 329,272 orang atau 94.51 peratus layak dianugerahkan sijil SPM tahun 2025.

“Jumlah itu meningkat berbanding 319,016 atau 94.20 peratus calon SPM 2024,” ujarnya

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button