BERITA SEMASA

Pemakaian tali leher ke sekolah tidak diwajibkan mulai tahun 2026 – KPM

PUTRAJAYA – Berkuatkuasa sesi persekolahan 2026, Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan pemakaian tali leher oleh murid sekolah di institusi pendidikan bawah kementerian itu tidak diwajibkan.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi Surat Siaran Kementerian Pendidikan yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, bertarikh 17 Disember lalu.

Menurut surat siaran itu, Mesyuarat Profesional Kementerian Pendidikan (MPKPM) Khas Tahun 2025 yang bersidang pada 8 Disember lalu telah membuat ketetapan bahawa murid tidak diwajibkan memakai tali leher ke sekolah bermula tahun hadapan.

Walau bagaimanapun, KPM menjelaskan pemakaian tali leher masih dibenarkan sekiranya terdapat persetujuan bersama antara pihak sekolah dan ibu bapa.

Kementerian turut menegaskan tiada sebarang paksaan atau tekanan boleh dikenakan ke atas murid berhubung pemakaian tali leher tersebut.

Menurut KPM, keputusan ini dibuat selepas mengambil kira realiti iklim tempatan Malaysia yang panas dan lembap, yang didapati kurang sesuai untuk pemakaian tali leher setiap hari serta boleh menjejaskan keselesaan murid.

Selain itu, langkah berkenaan juga mencerminkan keprihatinan kementerian terhadap beban kewangan isi rumah, khususnya dalam penyediaan kelengkapan persekolahan menjelang sesi persekolahan baharu.

Sehubungan itu semua ketua bahagian, pengarah pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah serta institusi pendidikan di bawah KPM diarahkan untuk memastikan pelaksanaannya dipatuhi sepenuhnya.

KPM menegaskan komitmennya untuk terus memastikan kebajikan, keselesaan dan keperluan murid sentiasa menjadi keutamaan selaras dengan semangat Malaysia MADANI.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button