Arab Saudi dakwa berjaya pintas dron Houthi berhampiran Mekah
ISTANBUL – Pertahanan udara Arab Saudi mendakwa memintas dan memusnahkan sebuah dron yang dilancarkan dari kumpulan Houthi dari Yaman sebelum ia memasuki ruang udara larangan di sekitar Mekah, menurut pakatan diketuai Riyadh, awal Rabu.
Jurucakap pakatan, Mejar Jeneral Turki al-Malki berkata, dron berkenaan dipintas kira-kira jam 6.50 petang waktu tempatan, Selasa, di kawasan selatan Mekah, manakala serpihannya dilaporkan jatuh di kawasan berkenaan.
Menurutnya, insiden itu dianggap sebagai percubaan kedua untuk menyasarkan Mekah oleh kumpulan Houthi, selepas pelancaran peluru berpandu balistik ke arah bandar suci itu pada 27 Julai 2017.
Al-Malki menegaskan keselamatan Dua Masjid Suci dan jemaah adalah ‘garis merah’, sambil memberi amaran bahawa pihaknya akan mengambil langkah yang perlu bagi menghalang serangan selanjutnya.
Bagaimanapun, Houthi menafikan dakwaan bahawa dron berkenaan menyasarkan Mekah dan menyifatkan dakwaan Saudi itu sebagai tidak benar.
Insiden berkenaan berlaku sehari selepas pakatan itu melaporkan 13 orang awam cedera dalam serangan peluru berpandu balistik dan dron Houthi yang menyasarkan Khamis Mushait, Abha dan Taif.
Serangan pada Isnin itu turut menyebabkan tujuh rumah dan dua kenderaan rosak, dengan mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan hingga sederhana.
Ketegangan antara Houthi dan pasukan kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi semakin meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini, selepas pertempuran kembali memuncak dan kumpulan itu melancarkan beberapa serangan ke atas wilayah Saudi.
Konflik Yaman tercetus sejak Houthi menguasai Sanaa dan beberapa kawasan lain pada 2014 sebelum pakatan diketuai Arab Saudi campur tangan pada 2015 bagi menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








