BERITA SEMASA

Malaysia terima sumbangan 25 tan buah kurma daripada Arab Saudi

KUALA LUMPUR – Malaysia hari ini menerima sumbangan 25 tan buah kurma daripada kerajaan Arab Saudi untuk dibahagikan kepada umat Islam di negara ini sempena bulan Ramadan.

Sumbangan oleh Raja Arab Saudi yang juga Penjaga Dua Tanah Suci, Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud itu adalah bagi memperkukuh ukhuwah Islamiyyah dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Penyerahan sumbangan disempurnakan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al-Sulaim kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar di Pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi, di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata, Malaysia bertuah kerana sentiasa dipilih oleh kerajaan Arab Saudi dalam program agihan kurma itu, kata portal Buletin TV3.

“Kerajaan Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud dan sentiasa mendoakan baginda sentiasa diberikan kesihatan berpanjangan serta keberkatan daripada Allah SWT.

“Diharapkan sumbangan dapat diadakan secara berterusan untuk rakyat negara ini,” katanya.

Sumbangan kurma berkenaan kemudiannya akan diagihkan ke masjid dan surau di seluruh negara pada bulan Ramadan akan datang.

Sementara itu, Mesaad Ibrahim pula berkata, sumbangan itu bukan sekadar pemberian material tetapi merupakan satu mesej solidariti daripada kerajaan Arab Saudi kepada rakyat Malaysia.

“la bertepatan dengan kedatangan Ramadan yang mulia, selain menegaskan nilai rohani dan persaudaraan yang diwakili oleh bulan rahmat, kebaikan dan keberkatan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button