Sultan Pahang titah masjid dirikan solat hajat mohon situasi jerebu Sarawak bertambah baik
KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan semua masjid di Pahang supaya mendirikan solat hajat bagi memohon situasi jerebu yang melanda Sarawak ketika ini bertambah baik.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.
Baginda bertitah, doa dan ikhtiar perlu berjalan seiring dalam menghadapi keadaan jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan rakyat.
“Saya mahu solat hajat diadakan di semua masjid di negeri Pahang bagi memohon kepada ALLAH agar keadaan jerebu di Sarawak segera bertambah baik dan rakyat sentiasa dilindungi serta dikurniakan kesihatan yang baik,” titah Al-Sultan Abdullah.
Titah berkenaan dizahirkan baginda ketika mengakhiri lawatan selama tiga hari ke Sarawak.
Al- Sultan Abdullah turut menasihatkan masyarakat di Sarawak supaya mematuhi segala arahan dan nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa negeri, khususnya berkaitan keselamatan dan kesihatan sepanjang keadaan jerebu berkenaan.
Baginda turut menzahirkan keprihatinan terhadap keadaan jerebu yang berlaku dan berharap semua pihak memberikan kerjasama dengan mengambil langkah berjaga-jaga, terutama golongan yang berisiko serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
“Saya berharap keadaan cuaca dan kualiti udara di Sarawak akan kembali pulih dalam masa terdekat, sekali gus membolehkan rakyat menjalani kehidupan seharian dengan lebih selesa dan selamat,” titah baginda.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








