BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAAN

MCMC dan SDEC perkukuh infrastruktur 4G di pedalaman Sarawak

CYBERJAYA – Usaha memperkasa jaringan digital di luar bandar Sarawak menerima dorongan menerusi pelaksanaan Projek SMART600, hasil kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC).

Menurut kenyataan bersama kedua-dua agensi tersebut, inisiatif itu selaras dengan aspirasi Sarawak Digital Economy Blueprint 2030 dalam memperkasa ekonomi digital dan meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.

Perjanjian kerjasama projek itu dimeterai dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Ibu Pejabat MCMC, Cyberjaya, hari ini.

Ia melibatkan pemeteraian antara Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Datuk Ir. Ts. Sudarnoto Osman.

SMART600 menyasarkan pembinaan 600 menara komunikasi baharu dalam dua fasa bagi menyediakan liputan 4G berkualiti tinggi di lebih 1,000 kawasan luar bandar Sarawak.

“Setakat ini, 587 menara telah siap dibina, dengan 431 daripadanya telah diaktifkan menggunakan teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN).

“Projek ini bukan sekadar pembangunan infrastruktur digital, tetapi usaha konkrit merapatkan jurang digital antara pedalaman dan bandar,” jelasnya.

Antara kawasan yang bakal menerima manfaat termasuk Belaga, Marudi, Kapit, Sungai Encheremin dan Sungai Belawai, melibatkan lebih 180,000 penduduk.

“Menerusi pelaksanaan itu, pengguna akan menikmati akses kepada Internet berkelajuan tinggi dan kemudahan pelbagai aplikasi seperti kecerdasan buatan (AI), penstriman video serta teknologi Internet of Things (IoT).

“Lima pengendali rangkaian mudah alih iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL Communications dan MySRBN akan berkongsi infrastruktur melalui sistem MOCN di bawah kelolaan MCMC,” ujarnya.

Sementara itu, Sudarnoto menegaskan komitmen Kerajaan Sarawak dalam membiayai perbelanjaan modal (CAPEX), manakala kos operasi (OPEX) ditanggung bersama oleh MCMC dan syarikat telekomunikasi terlibat.

“Internet kini satu keperluan asas. Rakyat Sarawak berhak mendapat kesalinghubungan yang setara, tanpa mengira lokasi,” katanya.

Turut hadir menyaksikan majlis pemeteraian itu ialah Pengerusi SDEC, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta pegawai kanan kedua-dua pihak.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button