BERITA SEMASA

Gelombang haba Eropah ragut lebih 30,000 nyawa

PARIS: Lebih 30,000 kematian direkodkan di Eropah sepanjang musim panas tahun ini ketika benua itu berdepan gelombang haba luar biasa dan kemarau berpanjangan.

Platform pemantauan kematian EuroMomo menganggarkan kira-kira 32,000 kematian berlaku antara pertengahan Julai hingga pertengahan Ogos.

Bagaimanapun, analisis awal membabitkan lapan negara menunjukkan jumlah kematian yang dikaitkan secara langsung dengan cuaca panas mencecah 33,000 orang di Austria, Belgium, England, Perancis, Jerman, Belanda, Portugal dan Sepanyol.

Menurut anggaran mingguan terkini EuroMomo, tempoh paling kritikal berlaku pada minggu terakhir Jun apabila hampir 16,000 kematian dicatatkan.

Angka itu kemudian menurun kepada kira-kira 8,000 kematian pada minggu pertama Julai.

Kedua-dua tempoh berkenaan berlaku serentak dengan gelombang haba luar biasa yang melanda sebahagian besar Eropah, selain kemarau yang meningkatkan risiko kebakaran hutan.

Jerman antara negara paling teruk terjejas apabila kira-kira 14,000 kematian dikaitkan dengan gelombang haba sehingga 9 Ogos.

Institut Robert Koch menyifatkan angka itu sebagai yang tertinggi sejak rekod berkaitan mula dikumpulkan pada 2016.

Di Perancis pula, sebanyak 7,300 kematian direkodkan antara akhir Mei hingga 22 Julai, manakala Sepanyol mencatat hampir 4,500 kematian berkaitan cuaca panas dari 1 Jun hingga 19 Ogos.

England turut berdepan peningkatan ketara apabila pihak berkuasa kesihatan dan keselamatan menganggarkan 2,877 kematian berkaitan cuaca panas berlaku ketika gelombang haba pada Mei dan Jun.

Jumlah itu menghampiri rekod 2,985 kematian yang dicatatkan negara berkenaan pada musim panas 2022.

Sementara itu, Belgium merekodkan 2,570 kematian antara 18 Jun hingga 17 Julai, diikuti Belanda dengan 968 kematian antara 22 Jun hingga 5 Julai.

Austria pula melaporkan 396 kematian berkaitan gelombang haba pada Jun, manakala Portugal mencatat lebih 600 kematian berlebihan antara pertengahan Jun hingga akhir Julai.

Gambar hiasan fenomena El Nino.

Peningkatan kematian itu sekali lagi menunjukkan ancaman cuaca panas melampau terhadap kesihatan awam, khususnya golongan warga emas dan individu yang mempunyai masalah kesihatan sedia ada.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button