EU pertimbang sekatan tambahan terhadap Israel
BRUSSELS – Suruhanjaya Eropah dijangka mengemukakan cadangan baharu bagi mengenakan sekatan tambahan terhadap Israel berhubung operasi ketenteraan di Semenanjung Gaza, termasuk penggantungan faedah perdagangan dan pembiayaan kerjasama antarabangsa.
Jurucakap Suruhanjaya Eropah berkata, langkah itu mencerminkan kebimbangan mendalam blok tersebut terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza, selain risiko terhadap keselamatan tawanan yang masih ditahan.
Namun, cadangan itu berdepan cabaran besar untuk mendapatkan persetujuan sebulat suara dalam kalangan negara anggota EU.
Jerman sebelum ini menolak usaha menggantung pembiayaan penyelidikan dengan Israel dan sikap sama dijangka memberi kesan terhadap cadangan kali ini.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen pada minggu lalu mengakui betapa sukar untuk mencapai kata sepakat, memandangkan negara anggota berpecah dalam menentukan respons terhadap pelanggaran hak asasi manusia di Gaza.
Langkah sekatan baharu itu turut dikemukakan ketika Israel meningkatkan operasi darat di Gaza.
Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas, melalui jurucakapnya menegaskan bahawa tindakan ketenteraan tersebut hanya akan menambah penderitaan, kematian dan perpindahan penduduk.
“Sudah tiba masanya untuk menghentikan kitaran keganasan, kemusnahan dan penderitaan ini,” katanya dalam kenyataan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








