Mayat lelaki warga emas ditemukan berhampiran Batu Niah selepas seminggu hilang
MIRI – Kehilangan seorang lelaki warga emas sejak seminggu lalu berakhir dengan penemuan menyayat hati apabila mayatnya ditemukan dalam keadaan reput di kawasan semak berhampiran Batu Niah, malam kelmarin.
Mangsa, Chong Nyuk Fan, 77, dilaporkan keluar dari rumahnya di Jalan Maigold 3A, Senadin, pada 14 September lalu dengan menaiki Toyota Hilux Vigo berwarna putih tanpa memberitahu ke mana arah tujuannya.
Hasil semakan sistem GPS mendapati kenderaan itu bergerak dari Miri ke Belaga sebelum isyarat terakhir dikesan di Jalan Pan Borneo, berhampiran simpang Ngu, Batu Niah, pada 17 September.
Kenderaan terbabit akhirnya ditemui keluarga mangsa ditinggalkan di tepi jalan, namun Chong tiada di dalamnya.
Kejadian itu mendorong laporan polis dibuat pada 21 September.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat digerakkan pada jam 9.44 malam selepas menerima panggilan daripada pihak polis.
“Seramai enam anggota terlibat, dan dalam masa kira-kira 20 minit, pasukan berjaya menemukan mangsa di kawasan semak dengan keadaan tubuhnya sudah mereput,” jelasnya dalam kenyataan.
Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








