JENAYAH & MAHKAMAH

PDRM Sarawak buka kertas siasatan kes komen provokasi kaum, hina Islam di Facebook

KUCHING – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak membuka satu kertas siasatan berhubung kes melibatkan komen berbaur provokasi kaum dan penghinaan terhadap agama Islam yang dimuat naik melalui sebuah akaun Facebook.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, laporan berhubung perkara itu diterima di Balai Polis Marudi pada 23 Januari lalu, kira-kira jam 9.08 pagi.

“Kandungan komen berkenaan disifatkan menghina agama Islam serta berpotensi menjejaskan keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi menahan seorang lelaki tempatan berusia 68 tahun di sekitar Marudi pada jam 11.45 pagi hari yang sama bagi membantu siasatan.

“Pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik komen tersebut,” katanya lagi.

Mohamad Zainal berkata, PDRM memandang serius penyebaran kandungan berunsur hasutan yang telah tular di media sosial kerana ia berpotensi menggugat ketenteraman awam serta keselamatan negara sekiranya tidak dikawal.

“Setakat ini sebanyak tujuh laporan polis telah diterima daripada orang awam berhubung kenyataan tersebut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesahkan pemilikan akaun Facebook yang terlibat serta tindakan menyekat akses terhadap kandungan yang menyalahi undang-undang,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, PDRM tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan keharmonian masyarakat.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan platform media sosial untuk menyebarkan kandungan berunsur kebencian, hasutan atau provokasi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar menggunakan media sosial secara bertanggungjawab, mematuhi undang-undang sedia ada serta menghormati kepelbagaian agama dan kaum demi memastikan keamanan dan keharmonian negara terus terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button