100 Hari Menteri Agama: Dr Zulkifli perkasa Daie Madani, pacu gelombang dakwah
KUALA LUMPUR – Gelombang baharu dakwah dalam kalangan anak muda menerusi inisiatif Daie Madani serta penglibatan lebih 90,000 peserta dalam program Komuniti Madani menjadi antara pencapaian signifikan sepanjang 100 hari pentadbiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata, tempoh tersebut dimanfaatkan untuk memperkukuh perkhidmatan serta melaksanakan pelbagai inisiatif #MadaniMembantu melalui 14 agensi di bawah JPM (Hal Ehwal Agama) secara tersusun dan berfokus di seluruh negara.
“Setiap langkah diambil dengan penuh amanah dan kejujuran demi kesejahteraan ummah serta keberkatan Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, antara usaha utama ialah pelaksanaan Daie Madani sebagai platform jaringan nasional asatizah muda bagi memperkasa gerakan dakwah generasi baharu.
Inisiatif itu turut diperkukuh menerusi penganjuran Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan 2026 (HAMKA) yang menghimpunkan lebih 1,500 peserta di Masjid Wilayah Persekutuan, termasuk penyertaan antarabangsa secara dalam talian.
Dalam aspek dasar, beliau memaklumkan cadangan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia sedang dimuktamadkan di peringkat Persekutuan tanpa menjejaskan autonomi negeri, selain cadangan penggubalan Akta Saraan Hakim Syarie bagi memperkasa institusi kehakiman syariah.
Selain itu, program kebajikan seperti Barakah Pit Stop diperkenalkan di Masjid Wilayah Persekutuan bagi menyediakan ruang rehat percuma kepada penunggang motosikal dan p-hailing.
Dalam usaha memperluas pengisian keagamaan, program Rakan (Program Raih Keberkatan Ramadan) serta Rakan Masjid x Rakan Muda Ramadan dilaksanakan bagi menghubungkan institusi masjid dengan golongan belia secara lebih inklusif.
Sepanjang tempoh sama, beliau turut menghadiri Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-74 yang mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.
Pada peringkat antarabangsa, Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan menjadi tuan rumah Persidangan Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA) melibatkan 57 negara anggota.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








