Menteri Agama sokong titah Sultan Pahang, seru solat hajat hadapi jerebu Sarawak
KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berhubung keadaan jerebu yang melanda Sarawak.
Menterinya, Senator Dr Zulkifli Hasan, berkata, seluruh masjid di Wilayah Persekutuan serta umat Islam di seluruh negara diseru menyatukan saf dengan melaksanakan solat hajat dan berdoa memohon pertolongan Allah SWT.
Beliau berkata, solidariti umat Islam melalui pelaksanaan solat hajat dan doa secara berterusan perlu dizahirkan sebagai sebahagian daripada ikhtiar menghadapi ujian berkenaan.
“Gabungan ikhtiar fizikal serta keutuhan doa adalah senjata utama orang beriman, kerana sesungguhnya tiada satu pun ujian yang diangkat melainkan dengan keizinan, rahmat dan kasih sayang Allah SWT,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pada masa sama katanya, pihaknya menggesa umat Islam mengambil iktibar daripada ujian berkenaan dengan memelihara alam sekitar yang merupakan amanah Allah SWT.
Katanya, umat Islam turut diminta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terpelihara.
“Marilah kita memperbanyakkan amalan soleh dan memohon keampunan, mudah-mudahan Allah SWT mengangkat ujian jerebu ini dan mengurniakan kesejahteraan serta udara yang bersih kembali kepada saudara-saudara kita di Sarawak,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








