Banduan maut dipercayai dipukul, jabatan penjara serah siasatan kepada PDRM
KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan siasatan berhubung kematian seorang banduan lelaki berusia 38 tahun yang dipercayai dipukul banduan lain di Penjara Marang, kelmarin, dapat dijalankan secara menyeluruh dan telus.
Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu, termasuk mengenal pasti punca kejadian serta pembabitan mana-mana individu yang berkaitan.
“Jabatan Penjara Malaysia menyeru orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian ini, khususnya ketika siasatan masih sedang dijalankan.
“Sebarang perkembangan lanjut berkaitan kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat yang disahkan oleh pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.
Semalam, media melaporkan seorang banduan di Penjara Marang maut dipercayai dipukul oleh tiga banduan lain berpunca daripada hutang lama dan perasaan tidak puas hati.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Redzuan, dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan pada jam 12.31 tengah hari kelmarin daripada seorang wadar penjara memaklumkan bahawa seorang banduan lelaki berusia 38 tahun didakwa dipukul oleh banduan lain.
Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan (KK) Merchang untuk mendapatkan rawatan.
Bagaimanapun sebaik tiba di KK Merchang, beliau dilapor berkata, pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








