BERITA SEMASA

Operasi umrah Malaysia tidak terjejas susulan serangan di Riyadh

KUALA LUMPUR – Operasi jemaah umrah dari Malaysia tidak terjejas meskipun berlaku serangan di Riyadh, Arab Saudi berikutan kebanyakan penerbangan dari negara ini menggunakan laluan terus ke Jeddah dan Madinah.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, Arab Saudi mempunyai beberapa lapangan terbang utama lain yang boleh menjadi pilihan penerbangan selain Riyadh, termasuk Jeddah, Madinah, Taif dan Dammam.

Menurutnya, syarikat penerbangan yang membawa jemaah umrah lazimnya menggunakan laluan terus ke Jeddah atau Madinah, sekali gus mengurangkan kesan terhadap perjalanan mereka susulan insiden berkenaan.

“Biasanya penerbangan mana-mana syarikat penerbangan yang membawa jemaah umrah akan mengambil laluan ke Jeddah atau Madinah.

“Bagi penerbangan yang menggunakan laluan transit melalui Riyadh, syarikat penerbangan masih mempunyai pilihan untuk mengubah laluan ke destinasi lain jika keadaan memerlukan,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai operasi umrah susulan serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, kelmarin.

Dalam kejadian itu, seramai 12 orang dilaporkan terbunuh manakala 309 lagi cedera.

Susulan insiden berkenaan, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa termasuk Etihad Airways dan Qatar Airways membatalkan sebahagian penerbangan ke Riyadh, dengan beberapa pembatalan dilaporkan berlanjutan sehingga esok.

Razali berkata, keadaan operasi umrah ketika ini masih terkawal dan pihaknya akan terus mematuhi sebarang arahan yang dikeluarkan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).

“Jika Wisma Putra mengeluarkan arahan supaya menangguhkan perjalanan untuk ibadah umrah, maka kami akan patuh.

“Namun, setakat ini tiada arahan sedemikian dan operasi umrah berjalan seperti biasa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button