LUAR NEGARA

Trump dakwa Rusia, Ukraine setuju gencatan senjata tenaga

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa Rusia dan Ukraine bersetuju melaksanakan gencatan senjata terhadap serangan ke atas infrastruktur tenaga, namun Kyiv menyatakan kesediaan menyokong langkah itu dengan syarat Moscow turut bersetuju.

Menurut laporan BBC, Trump mendakwa gencatan senjata itu berkuat kuasa serta-merta, tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai persetujuan berkenaan, manakala Rusia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenainya.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky pada mulanya menyatakan terkejut dengan pengumuman itu sebelum menegaskan Kyiv bersedia menghentikan serangan terhadap kemudahan tenaga Rusia sekiranya Moscow mengambil langkah sama.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya menantikan penjelasan terperinci mengenai hasil rundingan Washington dengan Moscow.

“Ukraine bersedia untuk tidak menyerang sektor tenaga Rusia dan kami mengharapkan kesediaan yang sama daripada Rusia serta persetujuan Presiden Amerika Syarikat berhubung perkara ini,” katanya menerusi media sosial.

Bagaimanapun, Zelensky kemudian mendakwa Rusia melancarkan serangan dron terhadap sebuah loji janakuasa di Kyiv sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik, diikuti serangan ke atas kemudahan tenaga di wilayah Kharkiv, timur laut Ukraine.

“Semua ini berlaku selepas Presiden Amerika Syarikat membuat kenyataan mengenai gencatan senjata tenaga,” katanya.

BBC juga melaporkan, Ukraine dan Rusia sudah berbulan-bulan saling melancarkan serangan terhadap infrastruktur tenaga masing-masing.

Moscow menyifatkan kemudahan yang disasarkannya sebagai sasaran ketenteraan yang sah kerana menyokong operasi ketenteraan Ukraine, manakala Zelensky berkata serangan Ukraine jauh ke dalam wilayah Rusia bertujuan mengurangkan keupayaan Moscow membiayai perang.

Serangan berulang itu turut mengganggu bekalan tenaga di kedua-dua negara.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Andy Burnham menyatakan sokongan terhadap gesaan Trump supaya gencatan senjata tenaga dilaksanakan secara berterusan dan bermula segera.

Perancis, Kanada dan Kesatuan Eropah (EU) turut menyatakan sokongan terhadap usaha berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, usaha Trump menggesa Ukraine menghentikan serangan terhadap infrastruktur minyak Rusia turut dikaitkan dengan perjanjian untuk membolehkan Rusia membekalkan diesel ke AS dan pasaran global.

Kyiv sebelum ini menyifatkan serangan terhadap kemudahan minyak Rusia sebagai langkah penting untuk mengekang pendapatan yang digunakan Moscow bagi membiayai perang.

Perjanjian diesel itu, yang membabitkan pelonggaran sementara sekatan terhadap import Rusia, bagaimanapun mencetuskan kritikan daripada beberapa pemimpin Eropah dan ahli politik AS, termasuk daripada Parti Republikan pimpinan Trump sendiri.

Zelensky menyifatkannya sebagai hadiah kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Ketua dasar luar EU, Kaja Kallas turut menyuarakan kritikan terhadap perjanjian berkenaan, manakala Setiausaha Pertahanan Britain, Wes Streeting berkata negaranya tidak menyokong langkah itu dalam wawancara bersama BBC.

Di AS, tujuh senator, termasuk tiga Demokrat dan empat Republikan mengeluarkan kenyataan bahawa perjanjian berkenaan bercanggah secara langsung dengan undang-undang yang melarang import tenaga Rusia.

“Pendirian Kongres jelas: AS tidak sepatutnya mengimport minyak dari Rusia sehingga negara itu menghentikan pencerobohan terhadap Ukraine dan ancaman terhadap sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO),” menurut kenyataan itu.

Mereka turut menggesa pentadbiran Trump menarik balik keputusan berkenaan.

Senator Republikan, Thom Tilli, yang merupakan antara tujuh senator terbabit, berkata kepada NBC News bahawa perjanjian itu sememangnya akan membahayakan nyawa rakyat Amerika.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button