Trump umum naikkan tarif import global kepada 15 peratus
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan kenaikan kadar tarif global baharu kepada 15 peratus ke atas semua barangan import, sehari selepas Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar langkah tarif terdahulu pentadbirannya.
Pengumuman itu dibuat menerusi platform Truth Social beliau.
Trump memaklumkan bahawa pentadbirannya menggunakan kuasa maksimum di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 iaitu satu peruntukan yang jarang digunakan bagi mengenakan tarif sementara tanpa memerlukan kelulusan Kongres.
Langkah tersebut sekali gus menggandakan komitmen Trump terhadap dasar tarif agresifnya walaupun Mahkamah Agung dalam keputusan 6-3 sebelum ini memutuskan beliau melampaui kuasa Presiden apabila menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) untuk melaksanakan tarif global tahun lalu.
Sebelum ini, Trump mengumumkan tarif seragam 10 peratus ke atas semua barangan import.
Bagaimanapun, kadar baharu 15 peratus itu dijangka mencetuskan ketidaktentuan dalam kalangan rakan dagang utama termasuk United Kingdom dan Australia yang sebelum ini mempunyai perjanjian tarif 10 peratus dengan Washington.
BACA JUGA:
AS mungkin guna tarif desak sokongan isu Greenland
Trump turut mengecam keputusan Mahkamah Agung sebagai tidak masuk akal dan menuduh beberapa hakim bertindak ‘anti-Amerika’.
Menurut Rumah Putih, tarif baharu itu bersifat sementara untuk tempoh 150 hari.
Namun beberapa sektor utama seperti keluli, aluminium, farmaseutikal, automotif dan aeroangkasa tidak terjejas kerana tertakluk di bawah undang-undang tarif berbeza yang masih berkuat kuasa.
Selain itu, pengecualian turut dikekalkan bagi sektor yang berada di bawah siasatan berasingan termasuk farmaseutikal serta barangan di bawah Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA).
Pengumuman drastik itu dijangka meningkatkan lagi ketidaktentuan dalam perang perdagangan global dengan beberapa pemimpin dunia menyeru kepada sistem perdagangan antarabangsa yang lebih stabil dan berasaskan prinsip timbal balik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








