POLITIK

BERSATU persoal keabsahan mesyuarat tergempar PN malam ini

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempersoalkan keabsahan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang dijadual berlangsung malam ini susulan pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) serta prosiding rayuan yang masih berjalan di mahkamah.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu berpandangan status quo keputusan RoS perlu dipelihara sehingga semua peringkat prosiding mahkamah selesai.

Menurutnya, BERSATU telah menerima surat jemputan daripada Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bertarikh 23 Oktober lalu berhubung mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN pada 25 Oktober.

Beliau berkata, pihaknya telah menghantar surat balasan bagi menjelaskan beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian sebelum mesyuarat itu diteruskan.

Azmin berkata, RoS telah membatalkan pendaftaran PN menerusi perintah yang berkuat kuasa pada 20 Oktober lalu.

Walaupun PN memperoleh perintah penggantungan pelaksanaan keputusan itu daripada Mahkamah Tinggi pada 22 Oktober, beliau berkata, mahkamah turut mengambil maklum bahawa perintah penggantungan tidak semestinya memulihkan secara automatik pendaftaran gabungan berkenaan.

Beliau merujuk Ringkasan Alasan Penghakiman pada perenggan 12, muka surat empat, berhubung perkara itu.

Menurutnya, Notis Rayuan juga telah difailkan Peguam Kanan Persekutuan pada 23 Oktober bagi pihak RoS dan Menteri Dalam Negeri untuk merayu terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi berkenaan.

“Persoalan yang berbangkit ialah mengapa Datuk Seri Takiyuddin mengeluarkan surat bertarikh 23 Oktober 2026 untuk memanggil mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional apabila beliau sedia maklum bahawa pada hari yang sama, satu Notis Rayuan telah difailkan di Mahkamah Rayuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmin berkata, BERSATU berpandangan semua pihak perlu memelihara status quo keputusan RoS sementara proses perundangan berkenaan diselesaikan sepenuhnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Seksyen 41 Akta Pertubuhan 1966 memperuntukkan bahawa pertubuhan yang pendaftarannya dibatalkan menjadi pertubuhan menyalahi undang-undang.

Katanya, Seksyen 42 akta sama pula memperuntukkan hukuman terhadap pemegang jawatan atau individu yang menguruskan atau membantu pengurusan pertubuhan menyalahi undang-undang, termasuk penjara sehingga lima tahun jika disabitkan kesalahan.

“Sekiranya Pas dan sekutunya masih meneruskan mesyuarat Majlis Tertinggi PN dalam situasi yang dijelaskan di atas, BERSATU khuatir perjalanan mesyuarat dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat ini mempunyai implikasi perundangan yang serius,” katanya.

Beliau berkata, BERSATU akan membawa perkara itu untuk dibincangkan dengan pasukan peguam bagi memastikan segala tindakan dilaksanakan secara sah dan teratur mengikut Perlembagaan PN serta Akta Pertubuhan 1966.

Dalam pada itu, Azmin turut membangkitkan pertikaian terdahulu berhubung hak BERSATU menghadiri, memberikan pandangan dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lalu.

Menurutnya, kepimpinan PN sebelum ini mempersoalkan isu korum Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang didakwa boleh menjejaskan keabsahan mesyuarat gabungan itu, selain mempertikaikan keanggotaan parti berkenaan dalam PN.

Bagaimanapun, beliau berkata, RoS melalui surat bertarikh 12 Ogos 2026 telah menegaskan bahawa BERSATU merupakan parti anggota yang sah dalam PN.

Justeru, katanya, kepimpinan PN perlu menjelaskan pendirian berhubung isu korum MPT BERSATU dan status keanggotaan parti itu sebelum meneruskan mesyuarat tergempar berkenaan.

Azmin berkata, kegagalan menyelesaikan persoalan tersebut boleh menimbulkan keraguan terhadap kesahan notis mesyuarat yang dikeluarkan.

“BERSATU sedang meneliti dan memantau perkembangan selanjutnya dan akan merujuk kepada pasukan peguam sebelum mengambil sebarang pendirian,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button