Himpunan Selamatkan Malaysia: Muda belum putuskan sertai PN atau tidak
PUTRAJAYA – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) belum memutuskan sama ada akan menyertai himpunan aman anjuran Pemuda Perikatan Nasional (PN) ataupun tidak pada 16 September depan.
Menurut Setiausaha Agungnya, Amir Abdul Hadi, pihaknya belum mengadakan apa-apa perbincangan berhubung penyertaan tersebut, namun akan memaklumkan sekiranya terdapat sebarang keputusan dibuat.
“Kalau dengan PN masih belum ada apa-apa keputusan dan perbincangan yang dibuat, jadi untuk masa sekarang apa yang saya cakap kita tidak akan ikut tapi kalau ada perbincangan (untuk sertai) kita akan maklumkan,” maklumnya.
Beliau berkata demikian selepas menghantar surat bantahan terhadap keputusan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) di Jabatan Peguam Negara di sini, hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan Pemuda PN akan menggerakkan himpunan aman pada 16 September depan di hadapan kompleks beli-belah Sogo susulan keputusan DNAA terhadap Ahmad Zahid bagi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Dalam surat bantahan tersebut, Muda mendesak Ahmad Zahid untuk meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga kesnya selesai bagi mengelak sebarang percanggahan kepentingan.
Muda turut mendesak AGC untuk memberi penjelasan penuh terhadap keputusan menghentikan prosiding ke atas Ahmad Zahid di Parlimen.
Tegasnya, suatu garis masa jelas juga harus diberikan untuk pemisahan Jabatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya bagi meminimumkan sebarang percanggahan kepentingan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







