KEKALAHAN calon Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning memberi tamparan hebat kepada gabungan parti dalam blok Pembangkang.
Bukan hanya dari segi keputusan undian sahaja tetapi ianya turut merangkumi pelbagai keputusan yang memeranjatkan apabila PN sendiri tewas di beberapa Peti Daerah Mengundi (PDM) kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Dalam masa yang sama respon kepimpinan PN kelihatan semakin bercelaru dan tidak sehaluan. Presiden Pas berterusan menemplak dan memperlekehkan UMNO selepas Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi di DUN Ayer Kuning.
Tan Sri Abdul Hadi Awang secara sinisnya mengeluarkan kenyataan bahawa UMNO sedang ‘mensucikan’ DAP. Sedangkan realitinya, UMNO masih kekal konsisten dalam kerajaan yang sah dan stabil; terus memperjuangkan kepentingan orang Melayu dalam kerangka inklusif.
Ini disusuli dengan cadangan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang membuka pintu rundingan dengan UMNO kerana kedua-dua parti mempunyai agenda yang sama untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
Namun hasrat tersebut tidak selari pula dengan kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menuntut pembubaran UMNO sebagai syarat bergabung; hanya kerana BERSATU mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang melebihi UMNO.
Oleh kerana kedudukan UMNO dalam kerajaan Perpaduan yang stabil dan mempunyai mandat Parlimen; tiada keperluan untuk bubar parti seperti yang diminta. Malah, permintaan itu sendiri dilihat sebagai tidak masuk akal seolah-olah mahu UMNO ‘menyerah diri’ kepada BERSATU.
Kalau niat benar-benar nak bersatu demi agama, bangsa dan negara, kenapa perlu syarat yang menghina seperti bubarkan parti?
Percanggahan kenyataan-kenyataan di atas menunjukkan perubahan sikap drastik dalam strategi mereka atau ini adalah sebahagian naratif menjadikan UMNO sebagai ‘kambing hitam’.
Kekalahan Berturut-Turut dan Kawasan Strategik yang Terlepas
Ayer Kuning bukan satu-satunya kegagalan. Sebelum ini, PN turut tersungkur di Nenggiri, Kelantan iaitu negeri yang selama ini dianggap sebagai kubu kuat Pas. Kekalahan di dalam parlimen Gua Musang ini jelas menandakan bahawa sokongan rakyat terhadap mereka semakin pudar.
Lebih membimbangkan, kesemua kekalahan ini berlaku dalam konteks kawasan luar bandar dan majoriti Melayu iaitu segmen yang selama ini menjadi kekuatan utama PN.
Naratif UMNO Tolak Penyatuan Melayu
PN tahu mereka tak lagi boleh menang hanya dengan bermain isu 3R (race, religion, royalty). Maka strategi baru mereka adalah dengan menjadikan UMNO sebagai ‘kambing hitam’, supaya rakyat terutamanya bangsa Melayu dapat menilai; kembali bersimpati dan marah kepada UMNO.
Mungkin sebab dah terbiasa menunggang agama, strategi kali ini sekadar menunggang bangsa tidak menjadi masalah kepada PN.
Apa yang penting, UMNO haruslah dilihat sombong dan tidak mahu bekerjasama untuk bangsa. Walhal UMNO telah berusaha sehabis baik semasa pembentukan Muafakat Nasional (MN) bersama Pas sebelum ini namun akhirnya dikhianati.
Wakil Rakyat PN Hilang Fokus di Kawasan
Wakil rakyat PN sering dilihat tidak aktif dan gagal menunjukkan prestasi yang meyakinkan di kawasan yang mereka wakili. Aduan mengenai kurangnya kehadiran di lapangan, tiada program pembangunan, dan layanan dingin terhadap pengundi semakin kerap kedengaran.
Secara tidak langsung, rakyat telah mula mempersoalkan kehadiran dan peranan sebenar pemimpin yang sepatutnya mewakili suara mereka. Dalam suasana ekonomi yang mencabar, rakyat mahukan pemimpin yang kelihatan di lapangan dan faham akan peranan sebagai wakil rakyat, bukan hanya pandai berpolitik.
PRU Semakin Hampir, PN Mula Hilang Momentum
Dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dijangka berlaku kurang daripada tiga tahun lagi, keputusan PRK menjadi cerminan awal terhadap prestasi dan penerimaan rakyat.
Jika PN gagal mengekalkan momentum dan strategi yang berkesan, mereka berisiko kehilangan lebih banyak kerusi Parlimen pada PRU akan datang.
Keresahan ini mula kelihatan dalam kenyataan-kenyataan pemimpin PN yang tidak lagi selaras, seolah-olah cuba mencipta naratif baru untuk kekal relevan di mata rakyat.
Apabila genap tiga tahun Kerajaan Perpaduan mentadbir, cubaan untuk menggugat kestabilan melalui kaedah politik belakang tabir, bina naratif sokongan Ahli Parlimen telah beralih dan termasuklah percubaan ‘tebuk atap’ telah pun gagal. Realitinya, kerajaan hari ini masih kukuh dan terus melaksanakan dasar-dasar pembangunan yang membawa hasil dan membantu rakyat.
Keadaan ini memberi mesej jelas kepada rakyat; bahawa perubahan mendadak tanpa hala tuju bukan lagi satu pilihan. Apa yang diperlukan ialah kestabilan dan kesinambungan, bukan kekecohan dan retorik kosong di atas pentas politik.
Keputusan PRK DUN Ayer Kuning membuka mata banyak pihak
Bagi PN, kekalahan ini bukan hanya soal kalah undi; kekalahan itu adalah indikator bahawa strategi menghina dan melabelkan lawan mereka dengan perkataan tertentu tidak lagi relevan dalam landskap politik semasa.
Apa yang PN sedang lakukan ialah satu bentuk permainan persepsi, cuba mengalihkan kesalahan dan menyelamatkan imej sendiri.
Realitinya, UMNO dilihat positif dan masih berada di atas; tetap komited dengan kerjasama rentas parti demi kestabilan negara. Yang panik sekarang hanyalah mereka yang gagal buktikan kemampuan, dan sedang dihukum oleh rakyat melalui kertas undi.
Artikel oleh:

Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii
Setiausaha Politik YAB Menteri Kemajuan Desa & Wilayah
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
Ketua UMNO Bahagian Seputeh
Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Malaysia Tribune.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








