Kapten SC Villa maut dipukul perompak guna batu turap
KAMPALA – Bola sepak Uganda dikejutkan dengan kematian kapten SC Villa, David Owori, selepas pemain kebangsaan itu dipukul sekumpulan perompak menggunakan batu turap dalam kejadian berhampiran kediamannya di Makindye, Kampala, Selasa lalu.
Owori, 27, dipercayai diserang selepas cuba menghalang sekumpulan individu daripada melarikan telefon bimbit dan barangan peribadinya.
Menurut polis, pemain itu ditemukan tidak sedarkan diri oleh orang awam sebelum dikejarkan ke sebuah hospital berhampiran.
“Dia kemudian dipindahkan ke Case Hospital untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada akibat kecederaan dialaminya.
“Saksi mendakwa sekumpulan penyerang menggunakan batu turap untuk memukul Owori sebelum melarikan diri, meninggalkan pemain itu dalam keadaan kritikal,” lapor BBC.
Owori merupakan pemain pertahanan dan tengah yang dianggap antara tokoh penting SC Villa, selain pernah mewakili skuad kebangsaan Uganda.
Beliau membantu SC Villa meraih kejuaraan Liga Perdana Uganda ke-17 pada musim 2023/24, sekali gus mencatat sejarah sebagai antara pemain utama kelab itu.
Memulakan karier profesional bersama Vipers SC pada 2016, Owori turut pernah beraksi di Eropah bersama Vélez CF di Sepanyol dan Utsiktens BK di Sweden sebelum kembali ke Uganda.
Kematian Owori mencetuskan kesedihan dalam kalangan komuniti bola sepak Uganda, dengan SC Villa dan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Uganda (FUFA) menyifatkan kehilangan itu sebagai tamparan besar kepada sukan negara berkenaan.
Parlimen Uganda turut mengadakan sesi bertafakur selama seminit bagi mengenang jasa pemain berkenaan.
Kematian Owori berlaku hanya beberapa bulan selepas pemain ragbi kebangsaan Uganda, Sydney Gongodyo, 27, maut dalam insiden serangan orang awam di Kampala pada Jun lalu.
Rangkaian kejadian itu mencetuskan kebimbangan terhadap isu keganasan yang semakin membimbangkan di ibu negara Uganda, selain gesaan supaya pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas bagi memastikan keselamatan masyarakat dan membanteras jenayah.
Pihak berkuasa kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti serta memberkas individu yang bertanggungjawab terhadap kematian Owori.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


