Ketua tentera Uganda cetus kontroversi, tuntut RM3.9 bilion dan wanita tercantik dari Turkiye
KAMPALA – Ketua tentera Uganda, Muhoozi Kainerugaba mencetuskan kontroversi selepas membuat beberapa tuntutan luar biasa terhadap Turkiye, termasuk bayaran AS$1 bilion (RM3.9 bilion) serta hasrat untuk berkahwin dengan wanita paling cantik dari negara itu.
Kainerugaba, yang juga anak kepada Presiden Uganda, Yoweri Museveni, dilaporkan membuat kenyataan itu menerusi beberapa hantaran di platform X.
Beliau mendakwa Turkiye perlu membayar AS$1 bilion sebagai ‘dividen keselamatan’ atas peranan Uganda dalam operasi ketenteraan menentang kumpulan militan di Somalia selama hampir dua dekad.
Selain itu, beliau turut menyatakan hasrat untuk mengahwini wanita paling cantik dari Turkiye.
Kainerugaba juga memberi tempoh 30 hari kepada Ankara untuk memenuhi tuntutan tersebut, sambil memberi amaran bahawa Uganda akan mengambil tindakan tegas jika ia diabaikan.
Antara langkah yang disebut termasuk menutup kedutaan Turkiye di Kampala, menyekat penerbangan Turkish Airlines serta memutuskan hubungan diplomatik.
“Jika Turkiye tidak menyelesaikan isu ini, kami akan memutuskan hubungan dalam tempoh 30 hari,” katanya.
Beliau turut mendakwa Turkiye mendapat manfaat daripada projek infrastruktur dan pengangkutan di Somalia, sedangkan Uganda menanggung beban utama dalam memerangi kumpulan militan seperti Al-Shabaab di bawah misi Kesatuan Afrika.
Ini bukan kali pertama beliau mencetuskan kontroversi.
Pada 2022, Kainerugaba pernah menawarkan 100 ekor lembu baka Ankole sebagai mas kahwin untuk mengahwini Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, selain mengeluarkan kenyataan mengancam untuk menawan Rom jika tawaran itu ditolak.
Beliau juga pernah mencetuskan ketegangan diplomatik dengan Kenya apabila mengeluarkan ancaman ketenteraan, yang akhirnya memaksa bapanya memohon maaf secara rasmi dan menggugurkannya sementara daripada jawatan ketua angkatan tentera.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada kenyataan terbaru itu mencerminkan pendirian rasmi kerajaan Uganda.
Uganda merupakan sebuah republik presidensial yang dipimpin oleh Museveni sejak 1986, namun sistem pemerintahannya sering dikritik sebagai cenderung kepada autoritarian oleh pemerhati antarabangsa.
Kontroversi terbaharu ini dijangka memberi tekanan kepada hubungan diplomatik antara Kampala dan Ankara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











