Tiada pertikaian calon kerusi Kota Laksamana, akan diputuskan sehari lagi – Pengerusi PN
PETALING JAYA – Perikatan Nasional (PN) masih meneliti beberapa perkara berbangkit sebelum memuktamadkan pemilihan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan menangguhkan pengumuman calon bagi kerusi itu bukan disebabkan pertikaian antara parti komponen, sebaliknya memerlukan pertimbangan lanjut bagi memastikan calon terbaik dipilih.
Beliau menegaskan PN tidak ketandusan calon dan yakin perkara berkenaan dapat diselesaikan sebelum hari penamaan calon.
“Kita ada satu kerusi yang tidak diumumkan. Kita tidak ketandusan calon, cuma ada beberapa penilaian yang sedang diteliti dan perlu dibuat pertimbangan akhir. Ada beberapa perkara berbangkit yang perlu kita selesaikan. Sebab itu tak umum malam ini.
“Apabila tiba penamaan calon, kita akan selesaikan perkara ini. Kita masuk dalam semua kerusi untuk menang. Tiada pertikaian itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pengumuman calon PN di Bukit Katil, malam tadi.
Pada majlis itu, PN mengumumkan calon bagi lima kerusi iaitu Paya Rumput, Ayer Keroh, Bukit Katil, Kesidang dan Bemban, manakala calon Kota Laksamana akan diumumkan kemudian.
Dalam PRN kali ini, PN dan Barisan Nasional (BN) masing-masing akan bertanding di enam dan 22 kerusi.
Mengulas keputusan memberikan laluan kepada MCA di kerusi Bandar Hilir, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu telah dipersetujui bersama.
Beliau turut menolak kemungkinan kemelut pentadbiran di Negeri Sembilan menjejaskan kerjasama BN-PN dalam menghadapi PRN Melaka.
“(Krisis di Negeri Sembilan) tidak memberi kesan kepada BN-PN di Melaka,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








