Agong kurnia Darjah Utama Seri Mahkota Negara kepada Presiden Mesir
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN) kepada Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi sempena Lawatan Negara beliau ke Malaysia, hari ini.
Pengurniaan darjah kebesaran itu merupakan penghormatan kepada Presiden Al-Sisi yang mengadakan lawatan rasmi ke negara ini bagi memperkukuh hubungan dua hala Malaysia dan Mesir.
Sultan Ibrahim turut berkenan menerima mengadap Presiden Al-Sisi di Istana Negara selepas ketibaan pemimpin Mesir itu pada pukul 10 pagi.
Ketibaan beliau disambut dengan Istiadat Sambutan Negara, termasuk pemeriksaan perbarisan Kawalan Kehormatan Utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta alunan lagu kebangsaan Republik Arab Mesir dan Negaraku.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa besar hati atas lawatan berkenaan yang mencerminkan persahabatan akrab antara kedua-dua negara.
“Lawatan ini mencerminkan persahabatan akrab sekian lama antara Malaysia dan Mesir yang berlandaskan saling hormat, percaya dan bersefahaman.
“Pemeteraian Perkongsian Strategik dalam Lawatan Negara ini juga membuktikan komitmen kedua-dua negara ke arah kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang bagi manfaat bersama,” titah Seri Paduka Baginda.
Presiden Al-Sisi kemudian menandatangani buku pelawat sebelum diperkenalkan kepada delegasi Malaysia dan Mesir yang hadir.
Sultan Ibrahim turut berkenan meraikan Presiden Al-Sisi serta delegasi Mesir dalam majlis Santapan Negara.
Dalam perkembangan sama, Presiden Al-Sisi memanjangkan jemputan kepada Sultan Ibrahim untuk mengadakan Lawatan Negara ke Mesir.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan serta barisan Kabinet dan pimpinan kanan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








