BERITA SEMASA

MCMC ambil serius laporan Anthropic, sedang teliti dakwaan dibangkitkan

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius laporan oleh Anthropic yang mendakwa satu operasi manipulasi pilihan raya berasaskan kecerdasan buatan (AI) secara khusus menyasarkan Malaysia.

MCMC dalam kenyataan berkata, perkara yang dinyatakan dalam laporan berkenaan bukan sebahagian daripada fungsi atau mandat suruhanjaya itu.

“MCMC juga tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau urusan sebagaimana yang digambarkan dalam laporan tersebut,” menurut kenyataan itu.

MCMC berkata, pihaknya kini sedang meneliti laporan berkenaan dan akan mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut daripada pihak berkaitan bagi memastikan fakta sebenar serta memahami konteks isu yang dibangkitkan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh, MCMC akan menentukan tindakan susulan yang bersesuaian mengikut bidang kuasanya, termasuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan.

“MCMC kekal komited melindungi orang ramai dan menangani kemudaratan dalam talian yang menjadi teras tanggungjawab suruhanjaya.

“MCMC akan terus memelihara dan memastikan persekitaran dalam talian yang selamat dan dipercayai untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Anthropic mendakwa satu operasi manipulasi pilihan raya berasaskan AI secara khusus menyasarkan Malaysia.

Operasi itu dikatakan melibatkan sekitar 1,000 akaun palsu di X, laman berita palsu dan jutaan rekod pengundi untuk menyasarkan kesemua 222 kawasan Parlimen.

Bagaimanapun, Anthropic berkata belum ada bukti kempen itu berjaya mempengaruhi komuniti pengguna sebenar secara meluas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button