SUKAN

Malaysia Ultra-Trail 2026 dijangka catat masa lebih pantas

TAIPING – Keadaan cuaca yang dijangka lebih sejuk dan mendung memberi harapan kepada penganjur Malaysia Ultra-Trail by UTMB 2026 untuk menyaksikan pelari mencatat masa lebih pantas pada perlumbaan yang berlangsung di Taiping, hujung minggu ini.

my kids
MyKids Fun Run UTMB

Pengarah Perlumbaan, Ewegene Tan berkata, faktor cuaca memainkan peranan penting dalam menentukan prestasi peserta dalam acara ultra-trail, justeru peluang untuk memecahkan rekod bergantung kepada keadaan pelari pada hari perlumbaan.

Menurutnya, catatan masa bagi jarak 100 kilometer ketika ini adalah sekitar 10 jam 30 minit, namun prestasi pelari tidak boleh dijangka secara tepat.

“Ini adalah larian ultra. Ia bukan acara 100 meter yang kita boleh menjangkakan masa penamat.

“Jika hari itu adalah hari terbaik seseorang pelari, mereka boleh memecahkan semua rekod. Tetapi jika bukan hari mereka, walaupun mempunyai prestasi yang baik dalam perlumbaan lain, mereka boleh berdepan halangan,” katanya di sini hari ini.

Ewegene berkata, pihak penganjur berharap keadaan cuaca yang lebih sejuk dapat membantu pelari memberikan persembahan lebih baik pada edisi kali ini.

Beliau berkata, keistimewaan utama Malaysia Ultra-Trail by UTMB 2026 ialah ia menjadi satu-satunya perlumbaan kelayakan ke final UTMB World Series yang berlangsung di Malaysia.

“Untuk pelari Malaysia, mereka tidak perlu lagi pergi ke luar negara untuk mendapatkan kelayakan ke UTMB World Series.

“Pada masa sama, peserta antarabangsa boleh datang ke Taiping, mengenali bandar bersejarah ini serta menikmati pelbagai makanan dan keistimewaan yang ada,” katanya lagi.

Menurutnya, kira-kira 2,900 pelari dari 56 negara dijangka mengambil bahagian dalam edisi kali ini selepas penganjur menerima tambahan penyertaan pada saat akhir.

Ewegene berkata, pihak penganjur turut memantau keadaan cuaca dan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sejak Isnin bagi memastikan perlumbaan dapat berlangsung dalam keadaan selamat.

“Setakat ini, perlumbaan dilihat sesuai untuk diteruskan seperti biasa. Angin datang dari arah utara dan bukannya selatan.

“Kebarangkalian hujan pula sekitar 18 hingga 23 peratus, dengan jangkaan hujan antara satu hingga dua jam sehari. Jadi kami menjangkakan perlumbaan dapat diteruskan seperti biasa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran Malaysia Ultra-Trail by UTMB bukan sekadar acara sukan, sebaliknya menjadi platform untuk memperkenalkan Taiping ke pentas antarabangsa.

“Pihak penganjur berharap kejayaan acara berkenaan dapat menjadikan Taiping sebagai produk pelancongan dan sukan yang mempunyai tarikan tersendiri di peringkat global.

“Harapan kami adalah supaya acara ini berjaya dan membawa Taiping ke arena antarabangsa.

“Jika semuanya berjalan lancar, saya percaya Taiping boleh menjadi satu produk tersendiri yang dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

Ewegene berkata, edisi kali ini turut menampilkan beberapa pelari berprofil tinggi termasuk Erking Wu dan Yutaro dari Jepun, selain beberapa peserta yang mempunyai indeks UTMB melebihi 800.

“Kami menjangkakan catatan masa yang baik pada tahun ini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button