Cedera buku lali tak halang Michelle raih podium MY50
TAIPING – Pengorbanan mengetepikan masa lapang demi latihan membuahkan hasil buat pelari Malaysia, Michelle Ng, 28, apabila muncul naib juara kategori wanita MY50 pada Malaysia Ultra-Trail by UTMB 2026 di sini.

Michelle yang bersaing dalam acara larian denai sejauh 50 kilometer (km) itu mencatat keputusan berkenaan daripada keseluruhan 162 peserta wanita, ketinggalan 1 jam 5 minit 45 saat kepada juara, Dayu Wang dari China.
Lebih manis, pencapaian itu menjadi podium keseluruhan pertama buat Michelle dalam saingan UTMB selepas sebelum ini hanya pernah meraih kedudukan podium dalam kategori umur.
Michelle berkata, pencapaian tersebut hadir hasil latihan konsisten selain pengorbanan masa lapang, khususnya pada hujung minggu untuk menjalani latihan di denai.
“Setiap hari saya perlu berlatih dengan lebih keras. Saya banyak mengorbankan masa lapang untuk memastikan sasaran latihan mingguan tercapai.
“Biasanya hari Sabtu dan Ahad agak mencabar kerana saya perlu memperuntukkan masa untuk latihan, khususnya latihan di denai,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan hari ini.
Menurutnya, persiapan menghadapi saingan di Taiping itu sudah dilakukan sejak beberapa bulan lalu menerusi latihan denai secara lebih kerap.
Michelle berkata, dia sendiri tidak menjangkakan mampu menamatkan perlumbaan di tempat kedua memandangkan saingan berkenaan bertaraf antarabangsa.
“Saya sangat gembira dan sebenarnya tidak menjangkakannya kerana ini adalah saingan bertaraf antarabangsa.
“Malam tadi saya menonton pengenalan atlet elit dan melihat mereka mempunyai mata UTMB yang sangat tinggi. Jadi, saya hanya berlumba secara konservatif kerana saya mengalami kecederaan buku lali pada minggu lalu,” katanya lagi.
Tambahnya, kecederaan tersebut menyebabkan dia lebih berhati-hati terutama ketika menuruni laluan berbukit.
“Ketika menuruni laluan, saya agak tidak stabil. Jadi, saya memperlahankan larian ketika menuruni bukit dan apabila sampai di laluan landai, saya cuba meningkatkan kelajuan,” katanya lagi.
Mengulas jurang masa lebih sejam dengan pelari di hadapan, Michelle berkata, dia tidak pernah melihat pelari berkenaan sepanjang perlumbaan dan tidak menjadikan persaingan dengan pelari lain sebagai keutamaan.
“Sebenarnya, saya tidak pernah nampak dia. Tetapi biasanya apabila saya berlari dalam perlumbaan denai, saya bersaing dengan diri sendiri.
“Saya cuba memperbaiki catatan masa sendiri atau mengikut rentak saya sendiri. Jika saya terlalu memaksa diri, keadaan fizikal saya boleh menjadi lebih teruk dan kecederaan saya mungkin berulang,” katanya lagi.
Michelle berkata, dia kini berminat untuk mencabar kategori MY100 pada masa akan datang sekiranya keadaan mengizinkan.
“Mungkin pada masa akan datang. Jika keadaan mengizinkan, saya berminat untuk menyertai lagi tahun depan dan mungkin mencuba kategori MY100,” katanya lagi.
Mengenai peluang menyertai peringkat akhir UTMB di Mont Blanc, Michelle berkata, dia masih belum membuat keputusan dan mahu memastikan tahap kecergasannya benar-benar mencukupi sebelum mengambil cabaran berkenaan.
“Saya akan fikirkan dahulu. Belum 100 peratus pasti.
“Saya belum pernah ke Mont Blanc, tetapi ia nampak sangat menarik dan memang menggoda untuk pergi. Cuma saya tidak pasti sama ada tahap kecergasan saya sudah mencukupi,” katanya lagi.
Menurutnya, faktor altitud menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian kerana keadaan di Eropah jauh berbeza berbanding Malaysia.
“Kalau saya pergi ke sana, saya mahu memberikan prestasi terbaik. Buat masa ini saya masih mempertimbangkannya.
“Saya ada mendengar daripada pelari lain bahawa keadaan altitud di sana sangat berbeza berbanding Malaysia. Kita biasanya berlatih di kawasan seperti ini dan apabila ke kawasan altitud tinggi, kita lebih terdedah kepada masalah mabuk altitud,” katanya lagi.
Michelle yang belum pernah menyertai perlumbaan di Eropah berkata, pengalaman perlumbaannya setakat ini lebih tertumpu di Asia termasuk China dan Jepun.
Dalam pada itu, dia mengakui aspek menuruni bukit menjadi antara perkara utama yang mahu diperbaikinya selepas ini.
“Sebagai seorang pelari, jika saya dapat menguasai teknik menuruni bukit dengan baik, saya boleh menjimatkan penggunaan otot dan tenaga,” katanya lagi.
Berkongsi mengenai permulaan dalam dunia larian, Michelle berkata, dia bukanlah individu yang aktif bersukan sebelum ini dan mula menceburi aktiviti berkenaan kira-kira tiga tahun lalu selepas menyertai aktiviti mendaki bersama seorang rakan.
“Selepas itu kami mendaftar untuk menyertai MMTF kira-kira tiga tahun lalu. Untuk membuat persediaan, saya mula kembali aktif mendaki.
“Selepas menyertai MMTF, saya mendapati perlumbaan itu sangat mencabar tetapi menyeronokkan. Pada tahun berikutnya, saya mula menyertai lebih banyak perlumbaan denai,” katanya lagi.
Menurut Michelle, dia kini sudah berlari secara aktif selama kira-kira tiga hingga empat tahun, namun masih mempunyai pekerjaan tetap dalam bidang pemasaran pelanggan di sebuah syarikat pengeluar coklat.
“Dia berlari antara lima hingga enam kali seminggu dengan latihan denai kebiasaannya dilakukan pada hujung minggu berikutan komitmen kerja.
“Salah satu sesi latihan biasanya saya tidak dapat lakukan di denai kerana komitmen kerja. Pada hari bekerja, agak sukar untuk menjalani latihan denai.
“Jadi, saya biasanya melakukan latihan denai pada hujung minggu,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








