Ahmad Hasnain Makhluf bangga raih Anugerah Keseluruhan Terbaik Kursus Repalman DEC Siri 4/2025
TAIPING – “Syukur alhamdulillah, saya berasa bangga dengan pencapaian yang diperoleh. Cabaran kursus ini benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal, namun pengalaman inilah yang membentuk saya menjadi lebih berdisiplin.”
Demikian luahan Perajurit Muda (PM) Ahmad Hasnain Makhluf Azizul Hakim dari 2 RAMD selaku penerima Anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik pada Perbarisan Penutup Kursus Repalman Kelas 2 (DEC) Siri 4/2025 yang berlangsung di Padang Kawad Batalion Kesembilan Rejimen Renjer Diraja (9 RRD), di sini baru-baru ini.

Pemuda kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu berkata, kejayaan tersebut membuatkannya lebih bersemangat untuk menjadi seorang anggota tentera yang berilmu dan berdisiplin.
“Ia juga menjadi penguat untuk saya mencapai skor terbaik dalam beberapa siri kursus akan datang,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Kursus yang bermula pada 28 April hingga 15 Ogos 2025 itu melibatkan 69 perajurit muda infantri daripada 2 RAMD, 4 RAMD, 6 RAMD, 23 RAMD, 2 RRD, 4 RRD dan 9 RRD.
Dalam majlis penutup, para penuntut mempersembahkan demonstrasi Ujian Kelayakan Kemahiran Individu (UKKI) meliputi mengagak jarak, percakapan radio dan pertolongan cemas sebagai gimik penutup.
Selain Ahmad Hasnain Makhluf, beberapa penuntut lain turut menerima pengiktirafan khas iaitu Penuntut Kursus Jasmani Terbaik disandang oleh PM Mohammad Raslan Rosli (9 RRD), Penuntut Kawad Terbaik (PM Muhammad Hisyamuddin Rosli – 6 RAMD) dan Penuntut Akademik Terbaik (PM Mohamad Danish Hakimi Ismail – 9 RRD).

Upacara penutup disempurnakan oleh Pegawai Memerintah 9 RRD, Leftenan Kolonel Gawreason Vengadalson.
Beliau menegaskan kepentingan anggota repal memahami tugas mereka agar dapat membantu pentadbiran pasukan dengan lebih berkesan.
Gawreason turut mengingatkan para penuntut agar mengaplikasikan segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus dalam tugasan harian di unit masing-masing.
Majlis diakhiri dengan pemakaian beret kor RAMD dan RRD kepada para penuntut sebagai simbol tamat kursus, sebelum sesi bergambar bersama Pegawai Memerintah, Pegawai Gerak, Ketua-Ketua Kompeni, barisan jurulatih serta wakil-wakil pasukan.

Untuk rekod, pada 15 September 2024, Ahmad Hasnain Makhluf turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perajurit Muda Keseluruhan Terbaik Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda di Pusat Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson yang dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








