BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Anggota tentera maut, seorang lagi hilang di Pulau Mataking

SEMPORNA – Seorang anggota tentera ditemukan maut manakala seorang lagi dilaporkan masih hilang ketika sedang bertugas di Pos Gabungan PDRM-ATM, Pulau Mataking di sini, semalam.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, kedua-dua anggota itu didapati tidak berada dalam barisan semasa semakan rutin.

Berikutan itu, operasi pencarian digerakkan dengan bantuan semua anggota tentera di lokasi sebelum mendapatkan bantuan bot daripada pihak resort berhampiran.

Menurut sumber, pada jam 9.25 malam, pasukan pencari menemui seorang anggota, Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, 20, dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan pantai pulau berkenaan.

“Pasukan perubatan resort segera memberikan bantuan pernafasan (CPR), namun mangsa disahkan meninggal dunia.

“Seorang lagi anggota dikenali sebagai Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27, masih hilang dan usaha pencarian sedang diteruskan dengan bantuan bot tentera serta bot resort sekitar kawasan Pulau Mataking,” katanya memetik laporan Buletin TV3.

Sumber memberitahu, mayat dibawa ke Hospital Semporna untuk tindakan lanjut.

Difahamkan kedua-dua anggota berkenaan adalah daripada Batalion Ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) dan ditempatkan di Kompeni C, Kem Batu 3, Kluang, Johor.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna Deputi Superintendan Jaafar Hakim mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Setakat ini, siaran media belum dapat dikeluarkan,” jawabnya ringkas ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button