BERITA SEMASA

Larian Kesyukuran Muar: Syed Saddiq kutip RM54,692 hari pertama

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memulakan misi ‘Larian Kesyukuran Muar’ dengan pencapaian memberangsangkan apabila berjaya mengumpul dana sebanyak RM54,692 pada hari pertama larian.

Syed Saddiq menyifatkan sokongan orang ramai sepanjang laluan larian dari Putrajaya ke Labu sebagai luar biasa, apabila ramai yang sanggup menunggu di tepi jalan untuk memberikan kata-kata semangat kepada beliau.

“RM54,692, itulah jumlah yang berjaya kita kumpulkan pada hari pertama Larian Kesyukuran Muar.

“Alhamdulillah, terima kasih banyak kepada semua yang menyumbang dan menyokong perjalanan ini,” katanya menerusi satu hantaran video di akaun Facebook rasminya.

Beliau mengakui sangat terharu dengan sambutan hangat orang ramai yang setia menanti di sepanjang laluan walaupun pada waktu malam.

“Saya betul-betul terkejut, sepanjang jalan dari Putrajaya ke Salak Tinggi, ada orang tunggu di tepi jalan, beri semangat, hulurkan tangan, dan doakan kami.

“Tapi bila sampai di Labu, saya langsung tak sangka ramai sangat yang tunggu, macam lautan manusia. Walaupun dah malam, anda semua masih berada di sini untuk menyambut dan memberi semangat kepada kami,” ujarnya.

Menurut Syed Saddiq, meskipun beliau merupakan individu yang melakukan larian tersebut, namun kejayaan misi itu adalah hasil sokongan padu daripada seluruh rakyat Malaysia.

“Saya mungkin orang yang berlari, tetapi perjalanan ini sebenarnya digerakkan oleh anda semua,” tambahnya lagi.

Menurutnya, larian Kesyukuran Muar itu menyasarkan kutipan dana berjumlah RM200,000. Kesemua hasil sumbangan tersebut akan disalurkan untuk inisiatif food bank serta penyediaan peranti tablet bagi kegunaan golongan memerlukan di Muar.

“Kita baru selesai hari pertama dan sasaran kita masih RM200,000. Teruskan bersama kami, ini baru permulaan,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq memulakan misi Larian Kesyukuran sejauh kira-kira 170 kilometer dari pekarangan Istana Kehakiman, Presint 3, menuju ke Muar, Johor, sebagai tanda kesyukuran selepas melalui perjuangan panjang membersihkan nama dan maruahnya.

Misi larian selama empat hari itu turut membawa matlamat kebajikan dengan sasaran mengumpul dana sebanyak RM200,000 bagi membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar.

Katanya, larian itu juga sebagai tanda penghargaan terhadap institusi kehakiman negara selepas berdepan pertuduhan selama enam tahun sebelum berjaya membersihkan namanya.

“Di sinilah saya mendapatkan semula maruah dan integriti serta membersihkan nama saya selepas enam tahun berjuang mendapatkan keadilan.

“Dana yang dikumpulkan menerusi larian ini akan digunakan untuk membeli iPad kepada mahasiswa yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, selain menyediakan bakul makanan kepada golongan yang memerlukan,” katanya seperti dilaporkan media.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata perjalanan untuk mengumpul dana itu baru sahaja bermula dan berharap lebih ramai yang tampil untuk bersama-sama menyumbang di lariankesyukuranmuar.com seterusnya mencapai sasaran yang ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button