AGAMABERITA SEMASA

Tiga beradik perempuan tamat hafazan 30 juzuk al-Quran, seorang dinobat Tokoh Huffaz

KUALA LUMPUR – Kisah kejayaan tiga beradik perempuan daripada sebuah keluarga menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran di Maahad Tahfiz An Nabawi, Jerantut menjadi perhatian pendakwah, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani yang menyifatkannya sebagai hasil pengorbanan luar biasa ibu bapa.

Menerusi satu perkongsian di Facebook baru-baru ini, beliau berkata, keluarga Tuan Zamani mencuri perhatian pada Majlis Konvokesyen Huffaz tahun lalu apabila ketiga-tiga anak mereka naik ke pentas menerima pengiktirafan sebagai huffaz al-Quran.

Lebih membanggakan, salah seorang daripada mereka turut dinobatkan sebagai Tokoh Huffaz.

quran
Kejayaan tiga beradik perempuan ini bergelar hafizah Quran menjadi hadiah bernilai buat kedua ibu bapanya.

Menurut Ahmad Dusuki, detik itu bukan sekadar majlis graduasi, sebaliknya menjadi kemuncak kepada bertahun-tahun pengorbanan dan doa seorang ayah serta ibu demi memastikan anak-anak berjaya menghafaz kalam Allah.

“Di celah ratusan tetamu yang hadir, ada satu keluarga yang mencuri perhatian kami. Bukan kerana populariti, tetapi kerana ada air mata yang mengalir tanpa mampu disembunyikan.

Related Articles

“Hari itu bukan sekadar hari konvokesyen, tetapi kemuncak kepada bertahun-tahun pengorbanan seorang ayah dan ibu,” tulisnya.

Beliau berkata, di sebalik kejayaan itu pastinya tersimpan pelbagai pengorbanan yang tidak diketahui orang lain, termasuk doa yang dipanjatkan pada setiap sepertiga malam, kesusahan mencari rezeki dan kerinduan ibu bapa yang terpaksa berjauhan dengan anak-anak ketika menuntut ilmu.

Katanya, segala penat lelah itu akhirnya terbayar apabila melihat anak-anak berjaya bergelar huffaz dan menjadi pewaris al-Quran.

“Melihat anak memeluk al-Quran, memakai jubah huffaz dan menjadi pewaris kalam Allah adalah hadiah terbesar buat seorang ibu dan ayah,” katanya lagi.

Beliau turut mendoakan agar ketiga-tiga beradik itu terus istiqamah memelihara al-Quran serta menyebarkan ilmu kepada generasi akan datang.

Dalam perkongsian sama, beliau mengingatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” (Riwayat al-Bukhari).

Hantaran tersebut turut meraih 7,800 reaksi suka, 405 komen dan 556 perkongsian semula.

Maahad Tahfiz An Nabawi Jerantut ialah institusi tahfiz di bawah Yayasan An-Nabawi yang diasaskan oleh Ustaz Ahmad Dusuki dan mula beroperasi di Batu Balai, Jerantut, Pahang pada 2016.

Maahad ini memberi tumpuan kepada melahirkan generasi huffaz menerusi pengajian hafazan 30 juzuk al-Quran, pendidikan agama serta pembentukan sahsiah berteraskan al-Quran dan sunnah.

Sehingga kini, Maahad Tahfiz An Nabawi mempunyai kira-kira 120 pelajar dan 17 tenaga pengajar serta kakitangan, selain telah melahirkan 46 graduan huffaz.

Institusi itu turut menganjurkan majlis konvokesyen huffaz serta pelbagai program tarbiah dan kemasyarakatan sebagai usaha memperkasa pendidikan al-Quran dan pembangunan akhlak generasi muda.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button