PAS punca Islamofobia, dakwa AMANAH
KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa kebimbangan MCA terhadap kerjasama politik melibatkan PAS membuktikan parti itu menjadi punca kepada penularan Islamofobia dalam negara.
Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, kenyataan Setiausaha Pemuda MCA, Saw Yee Fung yang mempertikaikan pakatan pilihan raya antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diketuai PAS menunjukkan wujud kebimbangan dalam kalangan parti komponen BN terhadap PAS.
Menurutnya, keadaan itu sekali gus bercanggah dengan dakwaan Presiden PAS bahawa Pakatan Harapan (PH) merupakan pihak yang menyebarkan Islamofobia.
“Jika benar PH yang menyebarkan Islamofobia, mengapa MCA sendiri dilihat bimbang dengan kehadiran PAS sehingga terpaksa menegaskan tiada kerjasama antara BN dan PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu?
“Namun di Negeri Sembilan, MCA akhirnya bekerjasama dengan PAS. Keadaan ini dilihat sebagai mengelirukan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Faiz turut mendakwa PAS merupakan sebuah parti yang sanggup mengubah pendirian politik demi mendapatkan kuasa sehingga menjejaskan kestabilan politik negara.
Menurutnya, PAS pernah menjalinkan kerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat dan membentuk kerajaan negeri di beberapa negeri selepas Pilihan Raya Umum 2008 sebelum mengambil pendirian berbeza pada hari ini.
“Dahulu PAS mempertahankan kerjasama dengan DAP habis-habisan demi memastikan mereka terus berada dalam kerajaan.
“Kini PAS bekerjasama dengan MCA dan pada masa sama mengharamkan sebarang kerjasama dengan DAP. Ini menunjukkan PAS sanggup mengubah pendirian politik mengikut kepentingan semasa,” katanya lagi.
Beliau berkata, agenda penyatuan ummah yang sering dibawa PAS hanyalah retorik politik, memandangkan parti itu kini bekerjasama dengan UMNO selepas berpisah dengan Bersatu.
“Kerjasama politik antara PAS dan BN juga dijangka sukar bertahan dalam jangka masa panjang kerana dibina atas kepentingan kuasa, bukannya prinsip perjuangan bersama,” katanya lagi.
Faiz turut berkata, pendekatan politik PAS yang sering memainkan sentimen agama dan kaum telah menyumbang kepada persepsi negatif terhadap Islam dalam kalangan masyarakat bukan Islam.
“Pendekatan ekstrem yang sering dibawa PAS menyebabkan parti bukan Melayu seperti MCA berasa bimbang terhadap mereka.
“PAS tidak boleh menuduh pihak lain menyebarkan Islamofobia sedangkan sikap dan pendekatan mereka sendiri yang menjadi puncanya,” katanya lagi.
Beliau turut mengibaratkan tindakan PAS menyalahkan pihak lain sebagai pepatah Arab yang bermaksud ‘dia yang memukul, dia juga yang menangis’.
“PAS sering menyalahkan orang lain, sedangkan Islamofobia itu berpunca daripada sikap mereka sendiri,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








